Mencapai Misi Nasional



SIMBOL PERJUANGAN: Hishammuddin mengucup Panca Warisan sebelum berucap, semalam.

Tiga sayap Umno ikrar gembleng tenaga demi generasi masa depan

KUALA LUMPUR: Tiga sayap Umno - Wanita, Pemuda dan Puteri, mahu rakyat tanpa mengira kaum serta agama terus memberi mandat dan menyokong kerajaan melaksanakan Misi Nasional bagi menjamin masa depan generasi akan datang.

Mereka menegaskan, jangka masa merealisasikan Wawasan 2020 hanya tinggal 12 tahun lagi dan usaha perlu digerakkan bagi memacu pembangunan negara memasuki fasa kedua dengan lebih gemilang selepas kejayaan cemerlang sejak kemerdekaan 50 tahun lalu.


Malah, dalam suasana menjelang pilihan raya umum ke-12, mereka mahu anggota Barisan Nasional (BN), terutama ahli Umno, tidak leka sebaliknya mempersiapkan jentera parti bagi memastikan kemenangan besar BN supaya Misi Nasional yang digariskan Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berjalan lancar dan mencapai kejayaan.

Peringatan itu adalah antara inti pati ucapan dasar Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz; Ketua Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Puteri, Datuk Noraini Ahmad, pada persidangan ketiga-tiga sayap itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Persidangan Pergerakan Wanita dihadiri 791 perwakilan, Pemuda (787) dan Puteri (773). Perhimpunan kali ini agak bermakna kerana negara masih meraikan ulang tahun ke-50 kemerdekaan dan sedang menyediakan perancangan untuk merealisasikan Misi 2057 bagi membangun dan memajukan Malaysia untuk 50 tahun akan datang.

WANITA BERSEDIA: Rafidah lantang meminta ahli bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum, semalam.

Dalam ucapan bertema �Merdeka dan Terus Merdeka�, Rafidah berkata, sambil menyambut ulang tahun kemerdekaan negara, rakyat perlu 'stock-taking' iaitu membuat perhitungan mengenai apa yang sudah berlalu dan ada pada mereka sekarang supaya dapat merancang serta menentukan apa yang wajar dilalukan untuk lima dekad akan datang.

"Negara banyak mencatat pencapaian dan kejayaan. Begitu juga sejarah menunjukkan kesilapan dan detik hitam yang tidak harus diulangi. Pengalaman 50 tahun lalu memberi panduan kepada kita mengenai di manakah punca kekuatan dan kejayaan masyarakat serta di mana pula dan sebab kelemahan serta kegagalan.

"Sejarah boleh memberi petunjuk dan pengajaran yang sangat berharga. Yang penting ialah kita pada masa sekarang serta generasi akan datang mesti sanggup belajar daripada sejarah untuk meneruskan apa yang baik dan berfaedah dan mengelakkan apa yang pasti membawa sengketa, perpecahan dan kelemahan kepada negara serta rakyat," katanya.

Rafidah juga berkata, pembangunan wilayah koridor perlu dilihat sebagai peluang untuk rakyat melabur, menjalankan usaha ekonomi serta mendapat pekerjaan, selain pembangunan jangka masa panjang yang memerlukan bakal pelabur dan pengusaha tempatan merancang penyertaan mereka mulai sekarang.

LANTANG BERSUARA: Noraini memberi ucapan bersemangat pada persidangan di PWTC, semalam.

Beliau turut mengarahkan jentera pilihan raya Wanita Umno diperkemaskan supaya sentiasa berada pada tahap 'gear penuh' selain menasihatkan mereka untuk mengelak membuat percaturan politik mengenai siapa yang menjadi calon serta menyerahkan kepada pucuk kepemimpinan menentukan senarai mereka yang akan bertanding.

Hishammuddin pula berkata, sejak penubuhan Umno, parti itu berusaha bersungguh-sungguh menggerakkan agenda kemajuan ekonomi untuk bangsa dan negara sehingga bangsa Melayu yang dianggap lemah dan mundur selama ini sudah berubah.

"Kini ribuan anak Melayu menjadi profesional dan teknokrat seperti doktor, jurutera, akauntan, peguam sehingga mampu menjadi angkasawan. Ini adalah hasil dasar keadilan sosial dan ekonomi yang memberi hak kepada orang Melayu untuk bersaing.

�Agenda ini tidak pernah terhenti dan pimpinan parti sentiasa mencari peluang untuk memperkukuhkan kedudukan orang Melayu. Pelbagai wawasan dan misi jangka panjang sudah digariskan untuk masa depan negara.

"Kini pembangunan modal insan dan pemupukan minda kelas pertama diberikan keutamaan. Pelan pembangunan wilayah tiga koridor pula bertujuan menangani ketidakseimbangan ekonomi," katanya.

Beliau mengajak Pemuda Umno untuk terus bersama Presiden parti melaksanakan agenda perdana selepas Perdana Menteri menggariskan satu tanggungjawab besar untuk digalas oleh semua pihak kerana Misi Nasional dibina khusus untuk generasi masa depan.

"Misi itu bukan dibentuk untuk dinikmati segera tetapi satu cetusan berani untuk dinikmati generasi terkemudian... misi yang diilhamkan atas rasa tanggungjawab yang ikhlas dan tulus demi masa depan anak bangsa," katanya dalam ucapan bertema 'Pemuda Perjuangan'.

Noraini dalam ucapan bertema 'Menjulang Bangsa Mengisi Wawasan', berkata selepas 50 tahun, semua rakyat terutama generasi muda perlu memperbaharui tekad, meningkatkan lagi kesungguhan, menggandakan usaha dan berani melangkah lebih jauh bagi mencatat kejayaan lebih besar di peringkat antarabangsa.

"Hanya dengan tekad dan kesungguhan sebegini kita mampu merealisasikan impian 2057 Presiden parti mahu apabila negara merayakan 100 tahun kemerdekaannya pada 2057, rakyat dan bangsa Malaysia akan mencapai kejayaan yang tidak pernah difikirkan.

0 comments: