Tangkap, lepas suspek prosedur biasa: Musa

Oleh Hardi Effendi Yaacob

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan semalam mempertahankan tindakan polis menahan, melepaskan dan kemudian memanggil semula suspek dalam siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin, 8.

Sambil menegaskan langkah itu adalah prosedur biasa, Musa berkata, polis mempunyai cara tersendiri mengendalikan siasatan kes pembunuhan kanak-kanak itu yang mendapat liputan meluas media sejak bulan lalu.

"Tahan, lepas dan panggil semula suspek memang perkara biasa dalam siasatan kes jenayah. Jika Peguam Negara mahukan penjelasan, saya sedia memberikannya bila-bila masa," katanya.


Beliau mengulas kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, yang mahu polis mengendalikan siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin secara teliti bagi mengelak tanggapan negatif masyarakat.

Terdahulu, Musa menyaksikan majlis serah terima tugas di antara Pengarah Logistik Bukit Aman, Datuk Zainal Mohd Tahir dan Timbalan Pengarah (I) Logistik Bukit Aman, Datuk Mashuri Zainal, di sini.

Jumaat lalu, Abdul Gani dilaporkan berkata, beliau mahu polis menjelaskan secara terperinci tindakan membebaskan beberapa suspek yang ditahan berhubung kes itu.

Tangkap kemudian lepas... ini boleh menjejaskan imej polis dan sistem perundangan kita. Saya mahukan penjelasan,� kata Abdul Gani yang mendakwa turut keliru dengan tindakan polis membebaskan seorang wanita Indonesia yang dikatakan saksi utama kes itu, minggu lalu.

Beliau juga dipetik sebagai berkata: �Dulu kata dia beri kenyataan palsu tetapi sekarang mahu jadikan dia saksi utama. Apa sebenarnya kaitan wanita ini dengan kes Nurin Jazlin? Ini semua perlu dijelaskan bagi mengelak kekeliruan orang ramai�.

Bagaimanapun, Musa enggan memberitahu bila atau di mana pertemuannya dengan Abdul Gani akan diadakan.

Ditanya mengenai perkembangan siasatan kes itu, beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan meminta kerjasama semua pihak, termasuk media supaya tidak membuat sebarang spekulasi.



Dalam perkembangan berkaitan, Musa berkata, polis sedang menyiasat secara terperinci mengenai penyebaran gambar bedah siasat mayat Nurin Jazlin di internet, dalam usaha mengesan mereka yang bertanggungjawab.

0 comments: