Siti Salmah dijangka boleh bertahan 2 tahun

Oleh CYNTHIA YEOH

KUALA LUMPUR 16 Okt. – Gadis yang menghidap penyakit Hipertensi Pulmonari, Siti Salmah Jasni, 18, perlu segera menjalani pembedahan pemindahan paru-paru untuk membolehkannya meneruskan kehidupan.

Menurut Pakar Perunding Respiratori Institut Perubatan Respiratori, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Ashari Yunus, gadis itu boleh bertahan dua tahun lagi menggunakan tangki oksigen dan rawatan perubatan.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan berapa lama Siti Salmah dapat hidup selepas itu tanpa menjalani pembedahan pemindahan paru-paru.

Beliau berkata, bantuan tangki oksigen dan rawatan perubatan termasuk ubat-ubatan yang diambilnya sekarang seperti Bosenpan, Iloprost dan Sildenafil tidak boleh menyembuhkan penyakit tersebut.

Ubat-ubatan itu, jelasnya, hanya dapat meningkatkan jangka hayat Siti Salmah.

‘‘Siti Salmah tidak ada pilihan. Dia perlu menjalani pemindahan paru-paru secepat mungkin kerana tempoh hayatnya bergantung kepada sistem daya tahan tubuhnya,” kata Ashari ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas nasib Siti Salmah dari Kulai, Johor yang masih menunggu paru-paru daripada penderma walaupun berada dalam senarai pesakit yang mendaftar untuk pemindahan organ itu sejak tahun 2005.

Penyakit Hipertensi Pulmonari mengakibatkan tekanan darah dalam paru-paru gadis itu terlalu tinggi hingga menyebabkan badannya sering letih dan mengalami kesukaran bernafas.

Keadaan itu memberi kesan buruk kepada jantungnya dan boleh meragut nyawa Siti Salmah pada bila-bila masa.

Menurut Ashari, penyakit yang dihidapi Siti Salmah kini berada pada tahap empat yang memaksanya bergantung kepada tangki oksigen bagi membolehkan dia menjalani kehidupan seharian.

Ashari menjelaskan, di Malaysia kini masih terdapat 10 pesakit yang menunggu untuk menerima pemindahan paru-paru.

Sementara itu, Ketua Penyelaras Pusat Sumber Pemindahan Nasional (NTRC) HKL, Dr. Lela Yasmin Mansor berkata, setakat ini hanya terdapat 20 pendermaan organ termasuk tisu-tisu badan seperti kornea, injap jantung dan tulang.

‘‘Sejak minggu lepas, hanya ada empat orang mendaftar sebagai penderma organ,’’ katanya.

Beliau berkata, bilangan individu yang mendaftar untuk menderma organ meningkat sejak kebelakangan ini ekoran liputan meluas yang diberikan terhadap nasib penerima jantung mekanikal, Tee Hui Yee.

Lela Yasmin berkata, secara keseluruhannya bilangan penderma masih kurang kerana tidak ramai keluarga yang membenarkan organ mangsa yang mati otak didermakan walaupun mereka sudah mendaftar sebagai penderma.

Masalah itu, menurut beliau, berlaku kerana ada penderma tidak memaklumkan pendaftaran mereka sebagai penderma organ kepada anggota keluarga masing-masing.

0 comments: