PM harap misi Muszaphar rintis kejayaan

Oleh Saufi Hamzah

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menjadikan pengalaman dan kejayaan hasil kajian angkasawan pertama negara sebagai antara asas merumuskan strategi meneroka sektor angkasa lepas serta keperluan terbabit dalam misi seterusnya pada masa depan, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, pengalaman dan hasil kejayaan program angkasawan sulung itu penting bagi memastikan negara dapat menentukan hala tuju terbaik jika mahu terus terbabit memajukan bidang penerokaan angkasa lepas.

Beliau berkata, pengalaman dan hasil kajian yang bakal dibawa pulang angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) amat berguna untuk dijadikan kayu pengukur bagi kerajaan dalam menilai kejayaan program itu.


Katanya, beliau percaya pengalaman dan kejayaan Dr Sheikh Muszaphar nanti dapat memberikan input yang penting sama ada Malaysia boleh terus terbabit dalam misi penghantaran angkasawan seterusnya.

"Saya percaya apabila Dr Sheikh Muszaphar balik, banyak pengalaman dapat diceritakan kepada rakyat Malaysia dan daripada pandangan serta pengalaman itu, adakah kita boleh mengambil bahagian dalam misi berikutnya.

"Setakat ini saya berpuas hati dengan perkembangan yang dilalui angkasawan pertama negara terutama berkaitan tanggungjawabnya menjalankan kajian diamanahkan," katanya dalam telepersidangan selama kira-kira 15 minit bersama Dr Sheikh Muszaphar di sini, malam tadi.


Turut serta dalam telepersidangan yang disiarkan menerusi Astro dan RTM1 itu ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah. Hadir sama, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis.

Dalam telepersidangan itu, Perdana Menteri berkata, beliau gembira kerana angkasawan negara mendapat kerjasama baik daripada krew Russia dan Amerika Syarikat di sana.

Katanya, beliau juga gembira kerana Dr Sheikh Muszaphar mampu mengerjakan ibadat solat, berpuasa dan berhari raya di ISS serta menyaksikan pemandangan luar biasa selain tidak menghadapi masalah kesihatan.

Perdana Menteri berkata, rakyat Malaysia amat berbangga dengan kejayaan Dr Sheikh Muszaphar berada di angkasa lepas dan mendoakan angkasawan itu selamat ketika di sana serta pulang ke bumi pada 20 Oktober nanti.

"Ini menunjukkan latihan yang dijalani Dr Sheikh Muszaphar di Russia sebelum dihantar ke angkasa adalah memadai dan mencukupi," katanya yang turut berbangga kerana angkasawan pertama itu sentiasa ingat serta bangga bahawa dirinya rakyat Malaysia.

Perdana Menteri juga mengucapkan tahniah kepada Dr Sheikh Muszaphar kerana pihak Eropah turut berminat dengan kajian yang dijalankannya serta berharap beliau dapat menjalankan kajian berkenaan mengikut jadual.

“Saya turut ingin melihat segala pengalaman Dr Sheikh Muszaphar dicatat setiap hari untuk dikongsi rakyat Malaysia dan berharap ia dapat dijadikan buku sebagai tatapan umum apabila pulang nanti,” katanya.

Terdahulu, pada awal sidang video itu, Perdana Menteri turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada Dr Sheikh Muszaphar bagi pihak dirinya dan keluarga serta seluruh rakyat Malaysia.

Sementara itu, Dr Sheikh Muszaphar pula menyuarakan harapannya supaya kejayaan yang dicapainya sebagai angkasawan pertama negara dapat menyuntik semangat supaya Malaysia melahirkan lebih ramai jurutera angkasa lepas pada masa depan .

Beliau berharap, bidang sains angkasa lepas dapat menarik minat lebih ramai generasi muda di Malaysia yang bercita-cita untuk menjadi angkasawan seperti dirinya sekali gus berupaya menghasilkan roket sendiri.

Isteri Perdana Menteri pula berkata, sebagai seorang ibu, beliau ingin tahu sama ada Dr Sheikh Muszaphar sihat dan dapat menikmati makanan yang dibawanya. Angkasawan itu memaklumkan dia sihat dan gembira kerana jadual pemakanannya baik serta dapat berkongsi bekalan yang dibawa dengan krew lain ISS.

Dr Sheikh Muszaphar, berlepas ke ISS pada 10 Oktober bersama angkasawan Amerika Syarikat, Peggy Whitson dan Jurutera Penerbangan Russia, Yuri Malenchenko dari Baikonur Cosmodrome di Kazakhstan, dan semalam ialah hari kelima beliau berada di stesen berkenaan.

0 comments: