Isu Kurdis semakin tegang -- Iraq adakan mesyuarat tergempar bincang ancaman Turki

BAGHDAD 16 Okt. – Perdana Menteri, Nuri al-Maliki mengadakan mesyuarat tergempar Kabinet hari ini bagi membincangkan ancaman Turki untuk melancarkan serangan ke utara Iraq bagi menghancurkan pemberontak Kurdis.

Mesyuarat itu diadakan berikutan amaran Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan kepada kerajaan Iraq dan puak Kurdis negara ini supaya bertindak ke atas pemberontak Kurdis Turki di wilayah mereka atau menghadapi akibatnya.

Ankara telah memohon kelulusan Parlimen untuk melancarkan tindakan ketenteraan di wilayah autonomi Kurdis Iraq ke atas pangkalan pemberontak Parti Pekerja Kurdistan (PKK).

Pejabat Nuri dalam kenyataannya menyebut, mesyuarat itu akan membincangkan perkembangan terkini di sempadan Iraq-Turki.

Menurut kenyataan itu, Nuri tidak akan menyetujui penyelesaian ketenteraan sebagai cara untuk menangani isu antara kedua-dua negara sekalipun “kami menyedari dan memahami kebimbangan rakan-rakan kami di Turki.”

“Bagaimanapun, kami tidak mahu tindakan ketenteraan diambil untuk menangani isu itu kerana ia akan mendatangan lebih banyak keburukan,’’ tegasnya.

Di Ankara, Recep membuat kenyataan dengan nada lebih tegas.

“Kerajaan pusat di Iraq dan kerajaan wilayah di utara Iraq mesti meletakkan tembok yang tebal antara mereka dengan pertubuhan pengganas,” kata Recep yang merujuk kepada PKK.

Pejabat Nuri berkata, Perdana Menteri menekankan pentingnya dilaksanakan perjanjian yang ditandatangani bulan lalu antara kerajaan Iraq dan Turki bagi memerangi PKK.

Kedua-dua negara bersetuju untuk bekerjasama dalam memerangi kira-kira 3,500 pemberontak PKK yang berpangkalan di wilayah autonomi Kurdis di utara Iraq.

Namun mereka gagal mencapai kata sepakat mengenai fasal yang akan membolehkan askar Turki memburu pemberontak yang lari ke wilayah Iraq.

Kerajaan Turki semalam dengan rasmi membentangkan usul di Parlimen bagi meminta kelulusan yang berkuat kuasa selama setahun untuk melancarkan operasi tentera di utara Iraq.

Kerajaan merancang untuk mengadakan pengundian berhubung usul itu esok dan mungkin memilih untuk mengadakan perbahasan tertutup, kata pengerusi blok parti pemerintah di Parlimen, Sadullah Ergin.

– AFP

0 comments: