Dr Sheikh Muszaphar dikagumi

Laporan oleh A Halim Yusof di Karazkhstan


RENDANG TERBANG: Dr Sheikh Muszaphar menikmati rendang terapung di tepi dagunya di ISS.

Saintis Russia, Amerika Syarikat teruja angkasawan kita faham proses uji kaji di ISS

KEUPAYAAN angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha melaksanakan semua kajian sains dengan sempurna dan tepat mengagumkan saintis Russia dan Amerika Syarikat.

Pengarah Institut Perubatan Molekular Biologi (UMBI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr A Rahman Jamal, berkata saintis daripada Agensi Angkasa Russia (Roscosmos) dan NASA serta krew lain di ISS yang memantau perkembangan kajian sains di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), sangat kagum dengan keupayaan Dr Sheikh Muszaphar.

"Saintis Roscosmos dan NASA teruja kerana angkasawan negara faham sepenuhnya keseluruhan proses uji kaji penyelidikan yang perlu dijalankan di ISS, tambahan pula proses uji kaji berkenaan bukan mudah.


"Penyelidikan saintifik adalah antara peristiwa penting di ISS dan ia sentiasa dipantau Roscosmos dan NASA. Justeru, keupayaan angkasawan kita untuk melaksanakannya dengan tepat dan sempurna, memang membanggakan semua pihak," kata Dr A Rahman yang juga penyelaras bagi semua kajian saintifik yang dihantar ke ISS.

Sepanjang 10 hari di ISS, angkasawan Malaysia akan membuat kajian saintifik berhubung kesan mikrograviti dan radiasi di angkasa lepas terhadap sel dan mikrob, serta uji kaji pengkristalan protein untuk kegunaan industri.

Mengulas lanjut, Dr A Rahman berkata, proses melaksanakan uji kaji sains dalam persekitaran mikrograviti di ISS adalah empat kali lebih sukar berbanding dilakukan di bumi, apatah lagi kajian di sana perlu menggunakan radas tertentu seperti kotak plastik khas.


Kotak yang akan terapung-apung dalam ISS itu perlu digunakan untuk mengaktifkan setiap uji kaji bagi melindungi ISS dan semua krew daripada kemungkinan pencemaran.

Katanya, keupayaan Dr Sheikh Muszaphar melakukan semua kajian saintifik dalam jadual yang ketat dengan pelbagai aktiviti lain disandarkan kepada latihan intensif yang dijalaninya.

"Pujian patut dipanjangkan kepada semua saintis yang berupaya mempermudahkan modul penyelidikan mereka untuk dilaksanakan di ISS," katanya.

Ketika ini, uji kaji terhadap dua jenis sel iaitu kanser dan leukimia sudah ditamatkan, manakala dua lagi membabitkan kesan radangan dan kajian tulang masih diteruskan. Sementara kajian pengkristalan protein juga masih berjalan sehingga ke saat akhir Dr Sheikh Muszaphar di ISS pada 21 Oktober nanti.

Tiga kajian sains hayat yang dijalankan di ISS dipilih daripada 50 cadangan. Tiga uji kaji yang dipilih berkenaan adalah berdasarkan keperluan, peralatan dan kepakaran diperlukan.

Dr A Rahman menjalankan kajian sel di angkasa membabitkan sel kanser hati dan sel leukimia; sel osteoblas dan sel endotelia; sementara Felo Kanan UMBI, Prof Dr Ramelah Mohamed menjalankan kajian ke atas mikrob atau bakteria jenis enterobacter cloacae dan acinetobacter baumanii, manakala Prof Dr Raja Noor Zaliha Raja Abd Rahman dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kajian ke atas penghabluran protein.

Selain kajian sains, Dr Sheikh Muszaphar akan meneruskan jadual harian beliau termasuk aktiviti membabitkan 14 barang simbolik Malaysia sebagai tanda kenangan di ISS.

Dr Sheikh Muszaphar akan mengambil gambar video ketika memakai baju batik dan membaca ikrar Rukun Negara ketika berada dalam ISS, yang kini suhu dalamannya ditetapkan pada 24 darjah Celsius.

Semua barang simbolik yang dibawa ke ISS seperti sampul surat, Jalur Gemilang, lencana khas Program Angkasawan Negara akan dicap dengan mohor ISS. Barangan berkenaan akan dipamerkan di Planetarium Negara selepas misi di ISS selesai nanti.

0 comments: