Mayat seorang mangsa nahas feri dijumpai

MERSING 17 Okt — Mayat seorang daripada tiga mangsa feri Seagull Express 2 yang hilang sejak feri itu terbakar dan karam 13 Okt lepas dijumpai hari ini.

Mayat yang berpakaian serba hijau itu dikesan oleh Unit Udara Polis di lokasi dua batu nautika timur dari Pulau Tokong Bahara.

Penyelaras misi mencari dan menyelamat tersebut, Kapten Maritim Tan Kok Kwee mengesahkan mayat itu sudahpun dijumpai dan dibawa ke Tanjung Gemok di Rompin, Pahang.

Katanya, keluarga mangsa diminta membuat pengecaman mayat.

Sabtu lepas, feri Seagull Express 2 yang membawa 106 orang, termasuk nakhoda dan dua kakitangan feri, sedang dalam perjalanan ke Pulau Tioman apabila terbakar dan karam pada 12.30 tengah hari.

Selain meragut empat nyawa, empat penumpang lagi cedera parah manakala tiga mangsa hilang. Kebanyakan penumpang yang terjun ke dalam air diselamatkan oleh beberapa kapal yang melalui kawasan berkenaan.

Operasi mencari mangsa hilang, Choong Yoong Kim, 43, Wong Soong Leng, 37, dan Wong Hann Wen, 29, dilakukan di sekitar tempat kejadian oleh 120 anggota Polis Marin, Unit Udara Polis, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Laut, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia.- Bernama

0 comments: