Hui Yee selesa tanpa alat bantuan pernafasan

KUALA LUMPUR, 17 Okt — Penerima jantung baru Tee Hui Yee, 14, dapat berkomunikasi dalam keadaan yang selesa setelah alat bantuan pernafasan atau mesin ventilator yang digunakannya dibuka pagi ini.

Pakar Perunding Jabatan Bedah Kardiothorasik Institut Jantung Negara (IJN), Dr Mohamed Ezani Md Taib merangkap doktor yang merawat Hui Yee berkata, alat bantuan pernafasan itu dibuka kerana keadaan Hui Yee stabil dan beliau yakin dia dapat bernafas dengan sempurna tanpa alat tersebut.

“Saya yakin semuanya berjalan dengan lancar dan saya juga berpuas hati dengan perkembangan positif yang ditunjukkan oleh Hui Yee.

“Mungkin dalam tiga atau empat minggu lagi Hui Yee yang kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) akan dipindahkan ke wad biasa,” katanya kepada pemberita di IJN hari ini.

Bagaimanapun Dr Ezani berkata, beliau akan memastikan Hui Yee dijaga dengan rapi agar tidak dijangkiti kuman yang boleh menjejaskan kesihatannya.

Katanya, gadis itu juga sudah boleh makan sup dan bubur, tetapi tetap memerlukan makanan tambahan yang diberikan oleh doktor menerusi saluran tiub yang dipasang di bahagian hidung.

“Badan Hui Yee memerlukan 1,400 kalori dan makanan tambahan yang disalurkan melalui tiub itu boleh menambahkan zat keperluan serta memberi tenaga kepada badannya untuk menguatkan otot-otot jantung beliau.

“Hui Yee akan terus menjalankan rawatan biopsi seminggu sekali untuk memastikan badannya tidak menolak jantung baru itu,” katanya.

Sementara itu Hui Yee yang kelihatan ceria menjawab beberapa soalan daripada pemberita dan memberitahu, dia tidak sabar untuk pulang ke rumah dan kembali ke sekolah untuk meneruskan pelajarannya.

“Saya tidak sabar untuk pulang bagi membuat persiapan untuk menyambut Tahun Baru Cina tidak lama lagi,..saya juga ingin berterima kasih kepada penderma jantung dan tidak sabar bertemu dengan keluarga penderma,” katanya.

Hui Yee yang menjalani pembedahan pindahan jantung kedua 5 Oktober lepas setelah badannya menolak jantung penderma selepas pembedahan pertama 3 Oktober juga turut menyatakan hasratnya untuk bertemu artis kesayangannya Datuk Siti Nurhaliza dan Lotter AF4.- Bernama

0 comments: