Jepun batal bantuan -- Bantah tindakan keras Myanmar terhadap pembangkang

TOKYO 16 Okt. – Jepun akan membatalkan bantuan kewangan berjumlah 550 juta yen (RM15.98 juta) kepada Myanmar sebagai protes terhadap tindakan junta tentera menggunakan kekerasan untuk menghancurkan kebangkitan prodemokrasi sehingga menyebabkan seorang wartawan Tokyo ditembak mati.

Negara ini tidak menyalurkan bantuan baru kepada Myanmar sejak pemimpin prodemokrasi, Aung San Suu Kyi ditahan pada 2003, tetapi terus membiayai projek kesihatan kecemasan selain mengadakan program latihan dan pemindahan teknologi.

Menteri Luar, Masahiko Komura hari ini mengumumkan, Kabinet bersetuju mengurangkan lagi bantuan setelah mengambil kira situasi semasa di Myanmar serta kenyataan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kerajaan Jepun perlu menunjukkan pendirian kami dan kami tidak boleh mengambil tindakan yang menyokong rejim tentera pada masa ini,” kata beliau kepada wartawan.

Majlis Keselamatan PBB minggu lalu mengeluarkan satu kenyataan mengutuk tindakan keras yang diambil oleh junta dan menggesa mereka mengadakan dialog secara serius dengan pemimpin pembangkang.

Bantuan kewangan yang dibatalkan itu bersamaan dengan kira-kira 18 peratus daripada keseluruhan bantuan Tokyo kepada Yangon tahun lepas dan bertujuan membiayai sebuah pusat sumber manusia.

Komura menambah, Jepun tidak sanggup menghentikan pembiayaan untuk program kesihatan kerana tindakan ini akan memudaratkan rakyat Myanmar secara langsung.

Jepun menyalurkan bantuan berjumlah kira-kira tiga bilion yen (RM88.4 juta) setahun sejak beberapa tahun kebelakangan, berbanding 10 bilion yen (RM295 juta) pada 2001.

– Reuters

0 comments: