PM: Kerajaan akan wujudkan pelan pembangunan angkasa

Oleh ZABRY MOHAMAD dan NIZAM YATIM


Lintas langsung komunikasi antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di stesen televisyen Astro, Kuala Lumpur dengan Angkasawan Negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), semalam.

KUALA LUMPUR 16 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan akan mewujudkan pelan tindakan pembangunan angkasa negara sebagai susulan kepada penghantaran angkasawan pertama Malaysia ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Perdana Menteri berkata, langkah itu dirancang bagi memastikan perbelanjaan besar yang bakal dilaburkan benar-benar menguntungkan dan dapat menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

‘‘Apabila Dr. Sheikh Muszaphar Shukor pulang ke Bumi, kita bukan sekadar akan membawanya untuk memberi ceramah di kampung dan bandar tentang pengalaman di angkasa.

‘‘Sebaliknya kita akan turut menggunakan pengalaman daripada program penghantarannya untuk mewujudkan pelan lengkap yang benar-benar bermanfaat kepada negara sesuai dengan wang yang banyak dikeluarkan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu ramah secara langsung dalam program televisyen Angkasa 1 Astro (saluran 588) di Pusat Penyiaran Asia, Bukit Jalil di sini malam ini. Dalam program itu beliau mengadakan telepersidangan dengan Sheikh Muszaphar.

Menurut Abdullah, program angkasawan yang membawa Sheikh Muszaphar ke angkasa secara tidak langsung telah membuktikan kepada dunia bahawa bidang komunikasi negara sudah setanding dengan negara maju lain yang membolehkan beliau berpeluang berbual secara terus dengan angkasawan itu.

Sheikh Muszaphar kini berada di ISS yang terletak kira-kira 350 kilometer dari muka Bumi iaitu tempat penyelidikan dan pemantauan angkasa lepas yang dikendalikan secara bersama oleh pelbagai negara di dunia.

Stesen itu berputar mengelilingi Bumi setiap 90 minit dengan kelajuan tujuh kilometer sesaat.

Perdana Menteri berkata: ‘‘Saya tidak mahu kita berpuas hati setakat ini sahaja sebaliknya kemudahan komunikasi di negara ini perlu ditingkatkan lagi pada tahun-tahun akan datang.’’

Ketika sesi telepersidangan selama 15 minit dengan Sheikh Muszaphar malam ini, Abdullah dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada angkasawan itu setelah tidak dapat berbuat demikian ketika cubaan telepersidangan pertama pada Ahad lalu.

Dalam perbualan itu, Abdullah banyak bertanya tentang perkembangan kajian saintifik yang dijalankan oleh angkasawan negara itu yang disifatkannya sangat penting kerana ia dapat digunakan untuk memajukan Malaysia pada masa depan.

Sebelum kembali ke Bumi pada Ahad ini, Sheikh Muszaphar akan menjalankan kajian saintifik berhubung kesan mikrograviti dan radiasi terhadap sel barah dan bakteria serta uji kaji pengkristalan protein bagi mencari penawar HIV/Aids.

‘‘Saya juga gembira kerana Sheikh telah membawa bendera untuk mengingatkan diri kepada Malaysia.

‘‘Makanan tradisi yang dibawa membolehkan kita tahu sama ada ia sesuai dimakan di angkasa atau tidak,” ujarnya.

Abdullah turut meminta Sheikh Muszaphar mencatatkan segala aktiviti di angkasa dalam buku notanya supaya ia kemudian dapat dibukukan untuk tatapan rakyat Malaysia.

Sheikh Muszaphar yang gembira dapat berbual dengan Perdana Menteri berkata, beliau telah mencatatkan pengalamannya sejak memulakan latihan sebagai angkasawan menggunakan komputer riba yang sentiasa dibawanya.

Beliau berharap catatan pengalamannya akan dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk berkecimpung lebih agresif dalam bidang angkasa lepas termasuk mencipta roket dan meneroka bulan serta planet Marikh.

Angkasawan berusia 35 tahun itu memberitahu, meneroka angkasa bukan halangan kepada orang Islam beribadat.

‘‘Islam adalah satu cara hidup dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menyediakan garis panduan... tiada masalah untuk bersolat dan berpuasa,’’ katanya.

Menurutnya, beliau telah merakamkan ibadat yang dilakukan untuk dilihat sendiri oleh umat Islam.

Dalam perbualan dengan Abdullah, Sheikh Muszaphar juga sempat membaca Rukun Negara kepada Perdana Menteri sebagai tanda beliau berbangga menjadi anak Malaysia.

Jeanne yang turut berkesempatan berbual dengan angkasawan negara berkata, beliau yang boleh disifatkan sebagai seorang ibu berharap Sheikh Muszaphar sihat dan dapat kembali ke Bumi dengan selamat.

‘‘Bagaimana keadaan anda, adakah makanan yang disediakan sesuai dan adakah rakan-rakan lain menyukai makanan Malaysia?’’ tanya Jeanne.

0 comments: