Lupakan hasrat tubuh kerajaan Bani Tamim

Oleh Kamarudin Hamzah

BESUT 16 Okt. – Semua ahli dan pengikut kumpulan syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn. Bhd. digesa melupakan terus hasrat untuk menubuhkan kerajaan Bani Tamim yang diketuai oleh Ashaari Mohamad kerana hasrat tersebut adalah perbuatan sia-sia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin berkata, hasrat mereka untuk menubuhkan kerajaan tersebut tidak akan berhasil dan pengikut kumpulan itu perlu melupakannya dan kembali bersatu menurut akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Beliau menambah, mereka juga seharusnya memberhentikan ajaran, fahaman dan gerakan mereka bagi menghidupkan semula gerakan dan doktrin Al Arqam.

Katanya, perkara itu telahpun diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sebelum ini bahawa ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa dan dipegang oleh jamaah itu adalah menyeleweng daripada ajaran Islam

‘‘Perkara sama telah diambil tindakan oleh Jabatan Agama Islam di negeri-negeri yang akan menjalankan tindakan sewajarnya terhadap ajaran yang jelas bercanggah dengan akidah Islam,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Baharu dekat sini semalam.

Abdullah yang juga Ahli Parlimen Besut berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah memanggil ketua kumpulan terbabit dan menasihatkan mereka agar tidak meneruskannya sambil membuat pemantauan agar kegiatan mereka dapat dibendung.

Katanya, dalam sejarah Islam memang ramai yang mengaku diri mereka sebagai Imam Mahdi dan di negara ini pun terdapat beberapa individu yang membuat dakwaan yang sama.

Beliau berkata, untuk tindakan lanjut termasuk penguatkuasaan diserahkan kepada pihak berkuasa kerana Jakim hanya setakat memberi nasihat yang dibuat berdasarkan keputusan jawatankuasa fatwa.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Abdullah menasihatkan stesen-stesen televisyen termasuk radio agar tidak keterlaluan dalam menyiarkan rancangan hiburan sepanjang tempoh perayaan.

Katanya, stesen terbabit perlu menghormati kemuliaan dan kesucian hari besar Islam termasuk Aidilfitri dan Aidiladha yang tidak wajar dirosakkan oleh hiburan yang keterlaluan.

“Ikutilah garis panduan hiburan dan kesenian yang dikeluarkan oleh Jakim supaya kita tidak dihidangkan dengan hiburan yang mempunyai unsur-unsur yang merosakkan masyarakat Islam,” ujarnya.

0 comments: