Kes Nurin: Musa sedia jelas kepada Peguam Negara

KUALA LUMPUR 16 Okt. – Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memberitahu, beliau sedia memberi penjelasan kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung pembebasan beberapa suspek yang dikaitkan dengan kes pembunuhan Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin.

Menurutnya, jika diminta berbuat demikian, beliau sendiri akan bertemu dengan Abdul Gani untuk memberikan penjelasan itu.

“Saya sedia beri penjelasan kepada Peguam Negara kenapa suspek-suspek itu dibebaskan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis serah terima tugas jawatan Pengarah Jabatan Logistik Bukit Aman antara Datuk Zainal Mohd. Tahir yang bersara wajib dengan penggantinya, Datuk Mashuri Zainal.

Sebelum menjawat jawatan itu, Mashuri ialah Timbalan Pengarah I di jabatan yang sama.

Musa mengulas kenyataan Abdul Gani Jumaat lalu yang mahukan penjelasan daripada pihak polis mengenai pembebasan lima orang terutama wanita warga Indonesia yang ditahan untuk membantu siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin.

Sebelum ini, seorang wanita warga Indonesia berusia 23 tahun yang dikatakan menjadi ‘penjaga’ Nurin Jazlin ditahan reman selama dua minggu bagi membantu siasatan.

Wanita itu dibebaskan setelah polis gagal mendapat sebarang bukti yang mengaitkannya dengan penculikan dan pembunuhan kanak-kanak berusia lapan tahun itu.

Pada 11 Oktober lalu, selepas polis mengedarkan satu salinan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kepada media, tiga lelaki tampil memberi keterangan.

Ketiga-tiga lelaki berkenaan yang berusia antara 19 hingga 25 tahun dan menetap di Petaling Jaya menyerah diri di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Selangor.

Kesemua lelaki itu bagaimanapun dibebaskan selepas polis mengambil keterangan mereka.

Imej mereka dirakamkan sebuah kamera CCTV sebuah premis perniagaan di Petaling Jaya iaitu tempat beg berisi mayat Nurin Jazlin ditemui pada 17 September lalu.

Dalam perkembangan sama, Musa yakin pihak polis dapat menyelesaikan kes pembunuhan Nurin Jazlin dalam masa terdekat ini.

Namun, beliau enggan mendedahkan maklumat terperinci mengenai bukti-bukti dalam kes tersebut kerana dikhuatiri boleh mengganggu siasatan.

“Kes ini dapat diselesaikan. Siasatan mengambil sedikit masa kerana ia perlu diteliti secara terperinci,” katanya.

Diminta mengulas mengenai imej lelaki bermotosikal yang mengangkat beg dipercayai berisi mayat Nurin Jazlin dalam rakaman CCTV tersebut, Musa memberitahu: “Buat masa ini jangan tanya apa-apa, semuanya masih dalam siasatan.”

Tegasnya, semua pihak terutama media perlu faham bahawa segala prinsip siasatan adalah untuk mencari kebenaran dan bukannya untuk menganiaya mana-mana pihak.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, kami perlukan masa bagi mencari jawapan kepada semua persoalan yang timbul. Ia adalah siasatan kami (polis),” ujarnya.

Musa juga meminta media supaya jangan membuat sebarang spekulasi.

“Benda-benda macam itu sebenarnya boleh mengganggu siasatan kami,” ujarnya.

Katanya, polis masih memerlukan maklumat daripada orang ramai untuk membantu menyelesaikan kes tersebut.

Pada 20 Ogos lalu, Nurin Jazlin, murid tahun dua Sekolah Rendah Desa Setapak di sini hilang setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju.

Selepas 27 hari Nurin Jazlin hilang, masyarakat digemparkan dengan penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan dalam beg pakaian di sebuah premis perniagaan di Jalan PJS 1/48, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya.

Kanak-kanak itu disahkan sebagai Nurin Jazlin.

0 comments: