Penyelidikan mikrob selesai

MOSCOW 16 Okt. – Angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor telah berjaya menamatkan penyelidikan mengenai mikrob di angkasa selain melengkapkan kajian terhadap sel leukemia dan sel kanser hati sejak berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) empat hari lalu.

Penyelaras Sains Hayat program penyelidikan untuk Program Angkasawan Negara, Prof. Dr. A. Rahman A. Jamal berkata, kajian-kajian lain yang masih diteruskan membabitkan kajian kesan sel radangan dan tulang serta pengkristalan protein.

Menurutnya, ada kajian yang telah pun ditamatkan manakala kajian pengkristalan protein hanya akan siap pada hari terakhir beliau di ISS.

‘‘Kajian yang telah tamat adalah mengenai mikrob di angkasa dan kajian terhadap sel leukemia serta kanser hati.

‘‘Beliau juga telah melaksanakan kajian makanan di angkasa yang diamanahkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Salah satu komponen penting dalam Program Angkasawan Negara ialah penyelidikan kerana ia menentukan sejauh mana keseluruhan program angkasawan tersebut berjaya.

Eksperimen yang dijalankan oleh angkasawan pertama negara itu melibatkan tiga komponen penting iaitu sel di angkasa, mikrob di angkasa dan pengkristalan protein di angkasa.

Eksperimen di angkasa lepas penting kerana ia menawarkan persekitaran unik dengan wujudnya mikrograviti dan radiasi angkasa selain boleh menghasilkan banyak penemuan ilmu baru.

Rahman berkata, penyelidikan yang dilakukan oleh Sheikh Muszaphar di ISS bukannya penyelidikan yang kecil malah ia telah pun menarik minat institusi antarabangsa.

Sebagai contoh, jelasnya, penyelidikan mengenai pengkristalan protein telah mendapat kerjasama dengan Universiti Osaka, Jepun.

‘‘Ada juga penyelidikan yang mendapat kerjasama daripada institusi lain seperti Universiti Colorado di Amerika Syarikat.

‘‘Mereka telah menyatakan minat untuk mengetahui hasil penyelidikan itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pengajian Siswazah, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Raja Noor Zaliha Raja Abd. Rahman berkata, sebaik saja memperoleh hasil kajian daripada Sheikh Muszaphar, beliau akan terus ke Universiti Osaka untuk menyambung kajian mengenai pengkristalan protein.

‘‘Saya bertanggungjawab dalam kajian protein dan sebaik Sheikh Muszaphar pulang ke Bumi, saya akan terus ke Jepun kerana kita mendapat kerjasama daripada universiti di sana untuk meneliti hasil kajian di ISS,” tambahnya.

0 comments: