Asean setuju PBB selesai krisis dalaman Myanmar

KUALA LUMPUR: Asean akan memberi sokongan padu kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mencari jalan penyelesaian terhadap konflik politik di Myanmar, selepas perbincangan dengan junta tenteranya menunjukkan perkembangan positif.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata Asean juga akan memujuk mereka supaya membenarkan Utusan Khas PBB ke Myanmar, Ibrahim Gambari, melawat semula negara itu seberapa segera bagi meneruskan rundingan dan membantu ke arah mencapai proses demokrasi berkekalan.

"Malaysia mendapati semua usaha dibuat PBB mula menunjukkan perkembangan positif dan Asean mahu junta Myanmar mengekalkan momentum itu dengan membenarkan Gambari melawat semula serta memberi lebih banyak masa untuk meneruskan rundingan susulan dengan pelbagai pihak di sana.


"Apa yang penting PBB sudah menunjukkan minat mendalam untuk membantu Myanmar mencari penyelesaian terbaik mencapai proses pendemokrasian," katanya selepas bertemu Gambari di Institut Diplomasi Luar Negara di sini, semalam.

Utusan Khas PBB ke Myanmar itu tiba di sini semalam untuk bertukar pendapat dengan pemimpin negara dalam mencari jalan penyelesaian jangka panjang kepada kemelut politik di Myanmar.

Gambari menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya, hari ini, bagi menjelaskan perkembangan terbaru usahanya, selain mendapatkan sokongan diperlukan PBB daripada negara Asean mengenai isu berkenaan.

0 comments: