Layak digelar saintis

KUALA LUMPUR, 16 Okt – Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha bukan saja merupakan seorang angkasawan tetapi juga layak diiktiraf sebagai seorang saintis terlatih, kata seorang saintis negara hari ini.

“Beliau (Dr. Sheikh Muszaphar) dipanggil sebagai angkasawan kerana beliau terbang ke angkasa lepas tetapi kita mesti ingat bahawa beliau merupakan seorang saintis kerana telah dilatih untuk menjalankan misi penyelidikan di angkasa lepas,” kata Tan Sri Dr. Ahmad Zaharudin Idrus, bekas penasihat sains kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya biarpun Dr. Sheikh Muszaphar merupakan seorang doktor bedah ortopedik, kebolehan angkasawan pertama negara itu sebagai seorang saintis tidak perlu dipersoalkan.

“Soal Dr. Sheikh Muszaphar yang masih baru dalam menjalankan penyelidikan bukan isu utama. Beliau merupakan seorang doktor ortopedik dan saya yakin beliau merupakan seorang yang sangat pintar, mempunyai sikap yang baik serta beliau bukan orang biasa seperti kita,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dr. Ahmad Zaharudin yang juga pernah menjadi penasihat sains kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad percaya Dr. Sheikh Muszaphar tidak mempunyai masalah untuk menyelesaikan tiga penyelidikan berkaitan sel, pengkristalan protein dan mikrob atau bakteria sepanjang berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).

“Saya percaya kalau dia ada masa enam bulan, dia boleh buat lagi banyak penyelidikan kerana isu utamanya adalah masa yang terhad,” katanya.

Dr. Ahmad Zaharudin yang kini merupakan pengerusi Malaysian Biotechnology Corporation Sdn. Bhd. berkata, Dr. Sheikh Muszaphar akan terus melibatkan diri dalam penyelidikan yang akan bersambung sejurus sampai ke muka Bumi.

Katanya data yang dikumpul Dr. Sheikh Muszaphar adalah amat penting bagi kesemua kajian yang dijalankan di enam universiti tempatan, antaranya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Katanya kesemua penyelidikan itu merupakan kajian yang tidak pernah dibuat oleh saintis lain sebelum ini dan keputusannya nanti akan menjadi rujukan kepada saintis dan ahli akademik lain pada masa akan datang.

“Rakyat Malaysia sepatutnya berbangga kerana saintis kita sebenarnya sudah setanding dengan saintis lain di dunia cuma saya meminta saintis kita lebih banyak berkomunikasi dengan saintis lain dengan memaparkan hasil di jurnal luar,” katanya.

Sementara itu, kemampuan angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor melaksanakan penyelidikan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) mendapat pujian daripada pihak Agensi Angkasa Persekutuan Rusia (Roskosmos) serta Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA).

Penyelaras Sains Hayat program penyelidikan untuk Program Angkasawan Negara, Prof. Dr. A. Rahman A. Jamal berkata, dari kaca mata pihak Roskosmos dan NASA, kemampuan Sheikh Muszaphar itu sememangnya mengagumkan.

‘Walaupun tugas penyelidikan dijalankan membabitkan Sheikh Muszaphar dan pasukan penyelidik tempatan, kedua-dua pihak terbabit iaitu Roskosmos dan NASA turut melakukan pemantauan.

‘‘Setakat ini mereka amat berpuas hati dengan pencapaian beliau dalam melaksanakan segala tugas di ISS,” kata Rahman pada sidang akhbar di sini hari ini.

– Bernama

0 comments: