Kerjasama dengan Roscosmos diterus

Daripada Abdul Halim Yusoff


BANGGA: Najib menampal logo misi program angkasawan negara pada dinding MCCW sambil diperhati Rosmah dan saintis sebaik saja Soyuz TMA-10 yang membawa Sheikh Muszaphar dan krew selamat mendarat semalam.

MOSCOW: Datuk Seri Najib Razak berkata, Agensi Angkasa Russia (Roscosmos) membuat tawaran kepada Malaysia untuk menghantar angkasawan kedua untuk menjalankan misi di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada penghujung 2010 atau awal 2011.

Timbalan Perdana Menteri berkata, agensi itu bagaimanapun meminta Malaysia untuk membuat pengesahan mengenai sama ada menerima atau menolak tawaran itu menjelang penghujung 2009.

Beliau berkata, tawaran itu disampaikan dalam pertemuannya dengan Presiden Roscosmos, Anatoli Perminov selepas menyaksikan pendaratan Soyuz TMA-10 yang membawa bersamanya angkasawan pertama Malaysia, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha di Pusat Kawalan Misi (MCC), Moscow.


"Dalam pertemuan itu, kita mencapai persetujuan secara prinsip untuk memeterai satu perjanjian antara Kerajaan Malaysia dan Russia menerusi agensinya Roscosmos untuk mengadakan satu Perjanjian Penerokaan Angkasa Sivil bagi tempoh jangka panjang.

"Ia adalah perjanjian payung yang akan merangkumi pelbagai bidang yang boleh mendatangkan hasil, manfaat dan kebaikan kepada negara," katanya dalam sidang media dengan wartawan Malaysia di MCC, di sini, semalam.

Hadir sama pada sidang media itu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis; angkasawan kedua, Dr Faiz Khaleed dan keluarga Dr Sheikh Muszaphar.

Mengulas lanjut, Najib berkata, antara bidang yang dikenal pasti untuk dimasukkan dalam perjanjian itu ialah pembangunan satelit, remote sensing, sistem navigasi, telekomunikasi dan kajian saintifik yang boleh dilaksanakan di ISS. Namun, perjanjian itu tidak menghalang Malaysia untuk menjalin kerjasama dengan agensi angkasa negara lain.

Beliau berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan memperhalusi butiran isi kandungan perjanjian itu dan membentangkannya kepada Kabinet untuk diluluskan.

Katanya, kerajaan akan mempertimbangkan dengan teliti butiran tawaran itu daripada aspek kos dan manfaat keseluruhan kerana ia bukan lagi membabitkan program timbal balas, sebaliknya perlu membuat bayaran secara langsung menggunakan dana kerajaan.

"Misi kedua ke ISS akan menyaksikan angkasawan kita memainkan peranan lebih penting berbanding sekarang. ..sebab itulah saya kata, kita akan mempertimbangkan dengan teliti dengan menyandarkan kepada pelbagai faktor kerana kita masih ada masa sehingga 2009.

"Ia juga hendaklah menjadi misi kos efektif dan orang ramai perlu diyakinkan bahawa program angkasawan adalah berbaloi kerana ia membabitkan dana awam," katanya.

Mengenai calon, Najib berkata, Dr Faiz Khaleed yang diletakkan dalam krew kedua pada misi pertama ke ISS akan menjadi angkasawan dalam misi kedua nanti.

Beliau juga akan meneruskan latihan di Star City kerana ia juga adalah sebahagian daripada perjanjian payung itu.

Menyentuh kejayaan angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha menyelesaikan misinya di ISS, beliau berkata, rakyat Malaysia harus bangga kerana tergolong dalam kumpulan elit negara peneroka angkasa lepas.

Katanya, kejayaan Dr Sheikh Muszaphar akan tercatat dalam lipatan sejarah dan akan terpahat dalam ingatan setiap rakyat Malaysia. Ia juga akan menjadi perangsang kepada generasi masa kini dan akan datang untuk menguasai sains dan teknologi untuk menjadi negara yang berjaya.

"Walaupun Malaysia negara kecil, kita tetap mempunyai jiwa besar. Jika kita beri tumpuan kepada apa yang hendak dibuat, impian yang sukar sekali pun kini menjadi kenyataan," katanya.

Sementara itu, Dr Faiz berkata, beliau bersyukur dan lega atas kepercayaan kerajaan untuk beliau menjalankan misi seterusnya dan sedia untuk meneruskan latihan sebagai angkasawan di Pusat Latihan Angkasawan Gagarin (GCTC), Star City.

"Ini adalah kesinambungan yang tepat kerana projek penerokaan angkasa lepas memberi manfaat besar kepada negara. Ia juga menunjukkan Malaysia serius untuk menjadi negara peneroka angkasa lepas," katanya.

0 comments: