Pengikut Ayah Pin gagal kemuka saksi kes murtad

Oleh Nazura Ngah


HADIR BICARA: Kamariah bersama peguamnya, Sa'adiah meninggalkan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, semalam.

Akuan bukan Islam Kamariah tak boleh diterima: Pendakwa syarie

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam diberitahu pengikut ajaran sesat Arifin Mohamad atau Ayah Pin, Kamariah Ali, 56, yang didakwa mengikut Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana mengaku bukan Islam bagi mengelak diambil tindakan, gagal memanggil sebarang saksi untuk membuktikan dia sudah keluar daripada Islam.

Ketua Pendakwa Syarie, Mustafar Hamzah, berkata Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Mohd Firdaus Ramlan yang mengesahkan salinan surat akuan bersumpah dikemukakan tertuduh bahawa dia keluar Islam pada 10 Ogos 1998 tidak boleh diambil kira sebagai saksi kerana kedatangannya ke mahkamah adalah semata-mata untuk mengemukakan dokumen.

Katanya, pihak pembelaan juga gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan kerana hanya membuat penafian kosong apabila tiada pengesahan daripada mana-mana mahkamah syariah mengenai pengisytiharan tertuduh keluar Islam.


Beliau berkata, keterangan dokumen tertuduh iaitu surat akuan bersumpah yang diperoleh daripada Pesuruhjaya Sumpah bukan bukti yang kukuh atau relevan untuk membuktikan tertuduh bukan lagi orang Islam.

"Pesuruhjaya Sumpah tidak mempunyai kuasa untuk menentukan status individu sama ada Islam atau tidak.

"Badan yang berhak menentukan seseorang itu Islam atau tidak adalah Mahkamah Tinggi Syariah. Oleh itu keterangan tertuduh dengan mengemukakan dokumen bahawa beliau bukan Islam melalui Pesuruhjaya Sumpah tidak lagi relevan," katanya ketika penghujahan lisan pada akhir kes pembelaan di depan Hakim Mohamad Abdullah, semalam.


Pihak pembelaan memfailkan penghujahan bertulis pada 11 Oktober lalu.

Mustafar berkata, dokumen surat akuan bersumpah juga bukan dokumen yang dibuat mana-mana Mahkamah Syariah di Malaysia dan sepatutnya ditolak kerana tidak relevan mengikut Seksyen 90(1) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Terengganu 2001.

Beliau juga bimbang pihak pembelaan terkhilaf fakta terhadap kesalahan yang dibicarakan kerana tertuduh didakwa mengikut Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, bukannya kesalahan murtad mengikut enakmen hudud.

"Segala keterangan keluar Islam atau tidak, tidak relevan terhadap fakta pembelaan.

"Peruntukan mengikut Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 bukan satu peruntukan undang-undang untuk menentukan seseorang itu Islam atau tidak tetapi untuk menentukan sama ada pengakuan bukan Islam dilakukan untuk mengelak dikenakan tindakan," katanya.

Terdahulu, peguam tertuduh, Sa'adiah Din dalam penghujahan lisan berkata tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah bagi kesalahan mengikut Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 dan mahu dibicarakan.

"Adalah silap pendakwaan membuat pertuduhan terhadap tertuduh mengikut Seksyen 7. Pendakwaan menunjukkan bahawa tertuduh mendakwa bukan Islam untuk mengelak dirinya daripada dikenakan tindakan mengikut Seksyen 10 Enakmen yang sama tetapi eksibit pendakwaan menunjukkan tertuduh mohon dibicara dan bersetuju untuk berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah," katanya.

Mahkamah menetapkan 18 November depan untuk membuat keputusan.

0 comments: