Kerajaan sedia teliti caj pentadbiran PTPTN

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan sedia meneliti caj pentadbiran yang dikenakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) jika ia terbukti menimbulkan kesusahan kepada peminjam.

Perdana Menteri bagaimanapun tidak mahu langkah PTPTN mengenakan caj tersebut diputarbelitkan oleh mana-mana pihak.

‘‘Kalau perkara itu (caj pentadbiran) menimbulkan kesusahan, saya sedia untuk meneliti perkara itu,’’ katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Parti Progresif Penduduk (PPP) Ke-54, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Abdullah membuat kenyataan ringkas itu sebagai menjawab desakan Presiden PPP, Datuk M. Kayveas supaya caj pentadbiran PTPTN dimansuhkan.

Terdahulu, dalam ucapan dasarnya, Kayveas berkata, PPP mendesak supaya pinjaman PTPTN diberikan tanpa sebarang caj.

‘‘Memandangkan PTPTN adalah dana berpusing, maka kerajaan patut memansuhkan caj pentadbiran,’’ katanya.

Kayveas yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, insentif pendidikan itu akan memberi nikmat keselesaan bukan sahaja kepada golongan berpendapatan rendah bahkan mereka yang berpendapatan tinggi.

‘‘Inilah yang dikatakan pembahagian kekayaan negara yang adil dan saksama, yang menjadi falsafah perjuangan Barisan Nasional,’’ katanya.

Utusan Malaysia melalui ruangan Forum sebelum ini, turut menyiarkan rungutan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan tindakan PTPTN mengenakan caj pentadbiran itu.

Difahamkan, PTPTN mengenakan caj pentadbiran sebanyak tiga peratus pada setiap tahun kepada peminjam.

0 comments: