RTM siar semula misi di ISS

BAGAN DATOH: Kementerian Penerangan akan menyiarkan semua aktiviti yang dilakukan oleh angkasawan pertama Malaysia, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, ketika berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) secara bersiri di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional (Bernama).

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia dibuat sebagai memenuhi tanggungjawab dalam mengiktiraf kejayaan angkasawan negara pertama yang sekali gus menaikkan imej negara kepada dunia.

"RTM yang turut membuat liputan mengenai angkasawan negara akan menyiarkan semula semua aktiviti dilakukan Dr Sheikh Muszaphar ketika di ISS menerusi program khas yang disiarkan secara bersiri tidak lama lagi.


"Langkah ini sebagai menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu kalangan remaja terutama pelajar memberi perhatian dan minat terhadap bidang sains, astronomi dan kajian angkasa lepas," katanya kepada pemberita selepas mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di Sungai Nipah Darat, di sini, semalam.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh, berharap penyiaran itu akan memberi suntikan semangat kepada generasi muda untuk memiliki cita-cita menjadi angkasawan di masa depan dengan menjadikan Dr Sheikh Muszaphar dijadikan sebagai idola baru mereka.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak RM2.4 juta dipungut setakat ini menerusi program Wakaf Al-Quran yang dianjurkan oleh Dewan Amal Islam Hadhari Malaysia (Damai).


Beliau yang juga Pengerusi Damai berkata, RM1.9 juta diperoleh daripada 51,000 penghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) sementara RM414,000 menerusi sumbangan 47 syarikat swasta.

Ahmad Zahid berkata, 250,000 naskhah al-Quran akan dicetak dengan kerjasama Yayasan Restu.

0 comments: