Terus hubungi abah sebaik cecah bumi



TIBA DI BUMI: Sheikh Muszaphar turun daripada helikopter di Kustanai.

Angkasawan selamat walaupun Soyuz ditarik daya graviti lapan kali ganda kerana masalah teknikal

MOSCOW: Sebaik saja mendarat dengan selamat, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha menelefon bapanya menerusi telefon bimbit yang dipinjam daripada seseorang di tempat kapsul yang dinaikinya itu mendarat.

Datuk Sheikh Mustapha berkata, beliau tidak sangka anaknya yang menelefon beliau, sehinggalah Dr Sheikh Muszaphar memanggilnya dengan menyebut 'Abah'.


"Abah ini Mus, Mus selamat dan baik saja," katanya kepada Bernama ketika menceritakan detik-detik awal beliau berhubungan dengan anaknya itu untuk tempoh 10 minit.

Dr Sheikh Muszaphar selamat sampai ke bumi selepas 11 hari berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), kira-kira jam 2.37 petang waktu tempatan (6.37 petang waktu Malaysia) di Arkylk, Kazakhstan, bersama dua angkasawan lain.

"Perasaan saya lega apabila mendapat tahu yang dia selamat mendarat bersama dua angkasawan lain," katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Kawalan Misi (MCC) di sini selepas menyaksikan pendaratan Soyuz TMA-10.

TERIMA PENGHORMATAN: Dr Sheikh Muszaphar dipakaikan pakaian wira Kazakh.

Ibu Dr Sheikh Muszaphar, Datin Zuraidah Sheikh Ahmad pula ketika ditemui berkata, beliau merasa lega kerana anaknya itu selamat pulang.

"Kini saya boleh tidur lena," kata Zuraidah yang sebelum ini memberitahu bahawa berat badannya turun sebanyak tujuh kilogram sejak anaknya berlepas ke angkasa lepas pada 10 Oktober lepas.

Sementara itu di ARKALYK (Kazakhstan), agensi berita AP melaporkan kapal angkasa Soyuz ditarik daya graviti pada kekuatan lapan kali ganda daripada biasa kerana masalah teknikal ketika masuk ke atmosfera bumi dalam pendaratannya, semalam.

Pegawai misi angkasa lepas dan pakar mengakui agak 'tertekan' buat beberapa lama kerana masalah berkenaan sebelum menarik nafas lega selepas pendaratan dilakukan dengan selamat, kata ketua Agensi Angkasa Lepas Russia, Anatoly Perminov dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan Misi di Korolyov, di luar Moscow.

"Keadaan itu menyebabkan krew Soyuz merasai tarikan graviti lebih tinggi daripada biasa ketika mendarat," kata jurucakap Pejabat Kawalan Misi, Valery Lyndin.

Kebiasaannya, tarikan graviti adalah empat kali ganda daripada kekuatan normal, katanya.

Pasukan petugas Russia segera mengesan lokasi kapal angkasa itu yang tersasar ke sebelah barat daripada tempat pendaratan dekat Arkalyk dan mendapati krew Soyuz dalam keadaan baik.

Ketua program angkasa lepas Russia, Alexei Krasnov, berkata satu siasatan rasmi akan dilakukan bagi memeriksa punca masalah teknikal itu.

"Sukar untuk menyatakan alasan khusus punca masalah itu. Kami perlu lakukan analisis mendalam," katanya.

0 comments: