Polis soal siasat tiga suspek utama serangan

KARACHI 21 Okt. – Polis Pakistan hari ini menyoal siasat tiga individu berhubung serangan ke atas konvoi bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto yang meragut sekurang-kurangnya 139 nyawa.

Seorang penyiasat dalam kes itu berkata, ketiga-tiga mereka dikatakan mempunyai kaitan dengan sebuah kereta yang membawa orang yang disyaki melontar sebutir bom tangan beberapa saat sebelum seorang pengebom berani mati meletupkan diri di tengah kesesakan ribuan penyokong Benazir.

Pasukan penyiasat turut menyoal tujuh anggota militan yang dipenjarakan di Karachi untuk menentukan sama ada mereka mempunyai sebarang maklumat mengenai serangan tersebut.

“Polis menahan tiga orang dari selatan wilayah Punjab untuk soal siasat. Mereka dibawa ke Karachi untuk mendapatkan sebarang maklumat yang ada.

“Mereka ditahan kerana mempunyai kaitan dengan kenderaan suspek yang mana terdapat individu melontar bom tangan,” kata seorang pegawai polis yang menyiasat beberapa letupan lain di bandar ini.

Ratusan penunjuk perasaan membakar tayar di jalan-jalan raya dan melontar batu ke arah kenderaan lalu lalang di kawasan kejiranan pro-Benazir.

Pihak berkuasa Pakistan sebelum ini turut menyiasat tiga orang yang terdapat dalam senarai suspek Benazir yang diserahkan kepada Presiden Pervez Musharraf.

Benazir, 54, menuduh militan sebagai bertanggungjawab dalam serangan tersebut dan tidak percaya kerajaan terbabit, tetapi sumber daripada Parti Rakyat Pakistan (PPP) menyatakan bahawa senarai itu turut termasuk beberapa pegawai kanan tentera.

– AFP

0 comments: