Nik Aziz pertahan program angkasawan

KOTA BHARU: Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam membidas laporan Harakah yang mendakwa program menghantar angkasawan ke angkasa lepas sebagai pembaziran.

Menteri Besar Kelantan berkata, usaha Malaysia menghantar angkasawan pertama Malaysia, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, ke angkasa lepas sebagai untuk mencari ilmu bukanlah pembaziran kerana ia dituntut agama.

Beliau yang juga Mursyidul Am Pas, berkata kajian mengenai langit dan bumi yang dijalankan menerusi program angkasa lepas adalah perintah Allah kepada hambanya.


Katanya, pembinaan makmal sains untuk menjalankan pelbagai kajian hal berkaitan angkasa lepas adalah untuk mencari ilmu dan ia tidak boleh dianggap pembaziran.

"Allah menyuruh manusia membuat kajian mengenai langit dan bumi. Bagaimana hendak membuat kajian langit bumi, kalau tidak ada makmal tertentu?

"Kalau ke angkasa dianggap membazir, bermakna membazirlah semua kajian sains yang dijalankan selama ini. Kita buat makmal sains untuk kaji itu dan ini...adakah ini membazir.


"Kita harus sedar ada pelbagai cara mendapat ilmu dan penghantaran Dr Sheikh Muszaphar Shukor itu adalah antara kaedah mencari ilmu, bukannya pembaziran," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Hari Kualiti Peringkat Negeri 2007 di Kota Darulnaim, di sini, semalam.

Beliau mengulas pandangan sesetengah pihak yang memandang sinis dan menyifatkan program angkasa lepas negara terbabit sebagai pembaziran. Lidah rasmi Pas, Harakahdaily.net kelmarin, melaporkan kerajaan membazir RM95 juta untuk membiayai projek angkasawan itu yang disifatkan sebagai projek melancong yang tidak memberi sebarang impak besar kepada negara.

Nik Abdul Aziz berkata, Dr Sheikh Muszaphar Shukor ke angkasa lepas adalah untuk melakukan beberapa kajian yang memberi sumbangan besar kepada negara dan masyarakat sejagat.

"Mana boleh, orang naik kapal angkasa yang menelan belanja besar, pergi hanya untuk makan angin," katanya.

0 comments: