Misi angkasa lepas capai matlamat: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi malam tadi merakamkan rasa gembira dan syukur kerana misi sulung angkasa lepas Malaysia mencapai matlamat yang dirancangkan.

Perdana Menteri berkata, beliau bersyukur kerana angkasawan Malaysia, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha selamat menjalankan misinya dan kembali ke bumi, sekali gus berjaya melaksanakan tugas yang diharapkan dalam misi pertama negara.

"Bagi Dr Sheikh Muszaphar, dia berjaya dalam misi itu. Bagi kerajaan ia satu kejayaan yang besar bagi projek pertama yang penting," kata Abdullah ketika dihubungi sejurus selepas kapsul Soyuz TMA-10, disahkan selamat mendarat, semalam.


Kapsul pendaratan yang membawa Dr Sheikh Muszaphar dan dua angkasawan Russia, Fyodor Yurchikin dan Oleg Kotov mendarat di Arkylk, Kazakstan, kira-kira 1,500km dari Moscow pada jam 6.37 petang waktu Malaysia.

Abdullah berkata, baginya kejayaan misi itu memberikan rakyat Malaysia satu keyakinan yang besar, bahawa segala rancangan negara pada masa depan dapat dijayakan.

"Ia memberikan kita satu keyakinan untuk meneruskan rancangan kita dan untuk menjayakan apa jua program yang kita atur.


"Ia satu kejayaan bersejarah bagi negara yang akan sentiasa dihargai oleh rakyat," katanya.

Perdana Menteri berkata, kejayaan itu sekali gus memberi inspirasi kepada anak muda dalam negara untuk membabitkan diri dalam bidang sains angkasa.

Abdullah berkata, kejayaan Dr Sheikh Muszaphar akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh negara dan beliau akan dibawa ke beberapa tempat untuk bertemu kumpulan tertentu bagi memberi penerangan, penjelasan dan pengkisahan perjalanannya sepanjang program angkasa itu sebagai sumber inspirasi untuk membakar semangat rakyat menceburi bidang sains angkasa.

Katanya, kerajaan mahu pembabitan Dr Sheikh Muszaphar dalam bidang sains angkasa lepas dirancang dan disusun dengan baik, dan mungkin digunakan nanti untuk membuat persediaan bagi peringkat berikutnya.

Beliau berkata, antara rancangan seterusnya mungkin membabitkan usaha menghantar seorang lagi angkasawan mengikuti misi berikutnya, yang akan ditentukan kemudian.

Abdullah berkata, kejayaan misi program angkasa lepas pertama ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan amat serius dalam rancangan berkenaan.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, bukanlah kerja kita untuk melancong atau melihat bumi dari angkasa lepas.

"Tujuan kita jauh lebih besar iaitu untuk menjalankan penyelidikan dan hasil penyelidikan itu amat dinanti-nantikan oleh negara Eropah serta Jepun.

"Ini langkah permulaan kita yang boleh dianggap satu percubaan besar dan berjaya dilaksanakan seorang rakyat Malaysia yang berkelayakan,� katanya sambil menegaskan Dr Sheikh Muszaphar adalah seorang angkasawan.

Perdana Menteri seterusnya mengucapkan terima kasih kepada semua yang terbabit dalam program sulung angkasa lepas itu, terutama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta pelbagai agensi lain.

"Ini satu kejayaan bersejarah bagi negara kita. Satu penghargaan kepada rakyat kita dan diharapkan ia akan menimbulkan minat kepada generasi muda untuk terbabit dalam bidang sains angkasa," katanya. � Bernama

0 comments: