Hui Yi makin stabil, makan makanan lembut

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Penerima jantung baru Tee Hui Yi, 14, kini menunjukkan perkembangan positif dan berada dalam keadaan stabil setelah alat bantuan pernafasan atau mesin ventilator yang digunakannya dibuka beberapa hari lalu.

Penyelaras Pemindahan Jantung dan Paru-paru Institut Jantung Negara (IJN), Noor Salina Othman berkata, kesihatan Hui Yi akan dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan gadis itu berada dalam keadaan sihat.

“Apa yang paling penting ialah untuk Hui Yi menjalani rawatan fisioterapi bagi mengembalikan kekuatan fizikalnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Diminta mengulas mengenai selera makan Hui Yi, beliau berkata, gadis itu sudah boleh menerima makanan lembut seperti sup dan bubur, tetapi tetap memerlukan makanan tambahan yang diberikan oleh doktor menerusi saluran tiub yang dipasang di bahagian hidung.

Salina berkata, Hui Yi masih belum dipindahkan ke wad biasa dan perlu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi memastikan dia tidak terdedah kepada sebarang jangkitan kuman yang boleh menjejaskan kesihatannya.

Hui Yi menjalani pembedahan pemindahan jantung kedua pada 5 Oktober lepas setelah badannya menolak jantung penderma terdahulu dalam pembedahan pertama pada 3 Oktober lalu.

– Bernama

0 comments: