Tarik balik perintah berkurung - Junta Myanmar tamatkan pengharaman perhimpunan

YANGON 21 Okt. – Myanmar hari ini menarik balik perintah berkurung dan menamatkan pengharaman ke atas perhimpunan yang dikuatkuasakan semasa kerajaan mematahkan demonstrasi prodemokrasi, baru-baru ini.

Ia tanda terbaru bahawa junta yakin yang mereka berjaya menggagalkan sepenuhnya tunjuk perasaan terbesar sejak dua dekad lalu.

Kelonggaran larangan yang dikenakan pada 25 September itu diumumkan dengan menggunakan kenderaan-kenderaan milik kerajaan di jalan-jalan raya sekitar Yangon.

“Perintah berkurung pukul 11 malam hingga 3 pagi dan pengharaman untuk berhimpun dari pukul 9 pagi hingga 5 petang telah ditarik balik bermula hari ini kerana keadaan keselamatan dan kestabilan bertambah baik,” tegas pengumuman melalui corong-corong pembesar suara yang dipasang di atas kenderaan- kenderaan tersebut.

Tidak dapat dipastikan sama ada larangan yang sama telah ditarik balik atau tidak di sebuah lagi bandar yang terlibat dalam tunjuk perasaan, Mandalay.

Penduduk di Yangon hari ini mengalu-alukan langkah penghentian perintah berkurung dan larangan berkumpul itu namun ramai yang masih dibelenggu kebimbangan.

“Rakyat berasa gembira tetapi orang seperti saya masih berasa bimbang mengenai situasi di sini setelah apa yang berlaku bulan lalu,” kata seorang pegawai di sebuah syarikat tempatan.

Penamatan perintah berkurung itu dibuat selepas pemerintah junta mendapat tekanan baru daripada masyarakat antarabangsa kerana tindakan kerasnya ke atas penunjuk perasaan.

Myanmar yang diperintah oleh tentera sejak tahun 1962 sebenarnya memberikan sedikit toleransi tetapi tindakan kerajaan mematahkan demonstrasi yang bermula dengan kenaikan harga minyak pada Ogos lalu menjadi cabaran terbesar kepada rejim itu.

– Agensi

0 comments: