Tawaran hantar angkasawan kedua 2010

MOSCOW 21 Okt. – Malaysia mendapat tawaran daripada Agensi Angkasa Persekutuan Rusia (Roskosmos) untuk menghantar angkasawan kedua negara ke angkasa lepas pada penghujung tahun 2010 atau awal 2011.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tawaran itu diterima hasil pertemuan dan perbincangan dengan Presiden Roskosmos, Anatoly Perminov, hari ini.

Menurut beliau, dalam pertemuan tersebut, Malaysia dan Roskosmos mencapai satu persetujuan untuk memeterai perjanjian berhubung misi penghantaran angkasawan negara yang kedua.

Jelasnya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) telah diminta untuk mengkaji tawaran perjanjian berkenaan sebelum dibentangkan ke Kabinet bagi mendapatkan persetujuan jemaah menteri.

‘‘Kita diberi tempoh sehingga akhir tahun depan untuk membuat pengesahan sama ada akan menyertai misi kedua ini atau sebaliknya.

‘‘Namun, saya telah maklumkan kepada beliau jika ada tawaran untuk memeterai perjanjian bagi menghantar angkasawan kedua negara, Malaysia akan beri pertimbangan secara serius.

‘‘Perjanjian itu bererti kita mempunyai satu ‘perjanjian payung’ yang akan mencakupi banyak bidang antaranya teknologi satelit, remote sensing, navigasi, telekomunikasi dan kajian-kajian saintifik yang boleh dilaksanakan pada misi akan datang,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menyaksikan pendaratan angkasawan pertama negara di Pusat Kawalan Misi (MCC) di sini, hari ini.

Najib berkata, walaupun mendapat kerjasama daripada Roskosmos, ia tidak bermakna Malaysia tidak akan bekerjasama dengan agensi angkasa yang lain.

Ditanya mengenai calon angkasawan yang akan menjalankan misi pada masa akan datang, beliau berkata:

‘‘Buat masa ini, Kapten Dr. Faiz Khaleed adalah calon yang selanjutnya.”

Sementara itu, ketika menyaksikan pendaratan Sheikh Muszaphar di MCC, beliau melahirkan rasa syukur kerana angkasawan pertama negara selamat mendarat di Bumi.

‘‘Ia merupakan satu kebanggaan kepada seluruh rakyat Malaysia dan ia sudah tentunya akan terkandung dalam lipatan sejarah negara.

‘‘Kejayaan itu juga akan merangsang generasi muda tentang betapa perlunya menguasai bidang teknologi. Walaupun Malaysia negara kecil, tetapi kita mempunyai jiwa yang besar.

‘‘Tahniah juga kepada semua pihak termasuk Mosti, pasukan penyelidik dan keluarga Sheikh Muszaphar atas segala pengorbanan,” katanya.

– Utusan

0 comments: