‘Korban teater peribadi Benazir’ - Bekas PM bertanggungjawab ke atas kematian ratusan penyokong


BENAZIR Bhutto bertanyakan sesuatu kepada seorang penyokongnya yang cedera akibat serangan berani mati Jumaat lalu semasa melawat mangsa di Hospital Jinnah, Karachi, semalam. – Reuters.

KARACHI 21 Okt. – Bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto perlu memikul tanggungjawab ke atas kematian 139 orang dalam serangan berani mati ke atas perarakan menyambut kepulangannya kerana mendedahkan mereka kepada bahaya demi untuk “pertunjukan peribadi.”

Anak saudara Benazir, Fatima Bhutto yang merupakan seorang kolumnis akhbar dan penyair serta cucu kepada Zulfikar Ali Bhutto memberitahu, kepulangan ibu saudaranya dari hidup dalam buangan telah mengheret negaranya ke dalam kekacauan.

“Beliau mahu meneruskan persembahan ini dan kerana itu, beliau perlu memikul tanggungjawab terhadap kematian dan kecederaan,” katanya.

Fatima merupakan anak perempuan kepada adik lelaki Benazir, Mir Murtaza yang dibunuh oleh polis di Karachi pada 1996.

Murtaza mengetuai kumpulan pelampau berhaluan kiri selepas pemerintah tentera, Mohammed Zia ul-Haq menjatuhkan hukuman mati ke atas bapanya pada 1977.

Arwah tidak sehaluan dengan Benazir yang disifatkan sebagai pengkhianat kepada legasi politik bapa mereka.

Fatima yang sering tampil di media Pakistan sebagai pewaris dinasti keluarga Bhutto baru-baru ini telah melancarkan kritikan terhadap ibu saudara itu.

Dalam kecamannya, Fatima mendakwa ibu saudaranya melindungi diri dengan lori kalis peluru untuk berarak sedangkan sudah diberi amaran mengenai ancaman serangan.

“Mereka mati untuk teater peribadi beliau, mereka mati untuk persembahan demi kepuasannya sendiri,” jelas Fatima.

Bagaimanapun Parti Rakyat Pakistan (PPP) pimpinan Benazir menolak kenyataan tersebut sebagai “dakwaan tidak berasas” dengan alasan kerajaan bertanggungjawab memberikan perlindungan kepada bekas Perdana Menteri Pakistan sebanyak dua kali itu.

Menurut Fatima, ibu saudaranya bukan musuh militan seperti yang didakwa oleh Benazir.

“Beliau bercakap mengenai fahaman pelampau dan tidak ada yang tampil untuk memberitahu bahawa Taliban telahpun wujud semasa kerajaan pimpinannya berkuasa,” jelas Fatima.

Beliau yang mendapat pendidikan di Amerika Syarikat (AS) dan Britain turut mengecam pengampunan ke atas pendakwaan kes rasuah dan penyelewengan yang diberikan kepada Benazir oleh Presiden Jeneral Pervez Musharraf.

“Pengampunan ini amat, amat menakutkan negara,” tegas Fatima yang menyatakan, beliau tidak akan menyertai politik negaranya dalam jangka masa terdekat.

– AFP

0 comments: