Jakim sedia bantu bekas pengikut

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedia membantu saki baki bekas ahli al-Arqam, tetapi masih lagi terikat dengan pertubuhan itu yang diharamkan, menjalani kehidupan baru berlandaskan tuntutan Islam sebenar.

Mengikut maklumat diterima Jakim, pertubuhan itu sekarang dikatakan sedang berdepan krisis mencari pemimpin pengganti Ashaari Muhammad, pengasas pertubuhan itu yang ketika ini dikatakan sakit dan tidak boleh lagi bertutur sejak diserang angin ahmar hampir 10 tahun lalu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jakim, Ghafarni Awang Teh, berkata dianggarkan masih ada 5,000 lagi bekas ahli al-Arqam belum kembali ke pangkal jalan yang meneruskan kehidupan di bawah naungan institusi perniagaan Rufaqa.


Katanya, kehidupan bekas anggota al-Arqam banyak bergantung dengan institusi perniagaan berkenaan, tetapi tidak menikmati kesenangan, kecuali sekadar cukup makan untuk keluarga.

"Pemimpin mereka pula mempunyai rumah besar dan kereta mewah hasil kerja keras ahli peringkat bawahan.

"Kita sedia membantu mengubah kehidupan bekas ahli pertubuhan itu jika mereka mahu kembali ke pangkal jalan. Jika mereka minat berniaga, Jakim akan mencari jalan membantu termasuk menerusi institusi agama dan agensi kerajaan yang berkaitan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Semalam Berita Harian melaporkan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Anuar Ibrahim mendedahkan ada guru termasuk Penolong Kanan cuba menghidupkan semula ajaran itu yang diasaskan Ashaari.

Bekas Penasihat Undang-undang al Arqam, Zabidi Mohamed, ketika dihubungi mengesahkan ketika ini berlaku persaingan antara keluarga beberapa isteri Ashaari untuk menerajui atau menjadi pengganti Ashaari.

Katanya, mereka mahu menonjolkan ketokohan anak masing-masing yang secara tidak langsung menerajui institusi perniagaan Rufaqa.

0 comments: