Anak saudara pertikai Benazir

KARACHI: Anak saudara Benazir Bhutto, Fatima, mendakwa ibu saudaranya bertanggungjawab terhadap kematian 139 orang dalam serangan bunuh diri yang berlaku ketika menyambut kepulangannya.

Katanya, sambutan kepulangan Benazir ke Pakistan hanya mendedahkan mereka kepada bahaya keganasan untuk kepentingan 'agenda peribadinya'.

Fatima, 25, seorang penulis pojok, penyajak dan cucu kepada bekas Perdana Menteri Zulfiqar Ali Bhutto, dalam satu temuramah, berkata kepulangan Benazir dari dalam buangan akan menjerumuskan Pakistan ke dalam kemelut politik yang lebih buruk.


"Beliau sendiri yang mahu menunjukkan kehebatannya dan beliau bertanggungjawab terhadap kematian dan kecederaan yang berlaku," kata Fatima di rumah keluarganya di Karachi, semalam.

Fatima adalah anak kepada abang Benazir, Murtaza yang ditembak mati polis di Karachi pada 1996, ketika keadaan huru-hara menyebabkan kejatuhan penggal kedua pentadbiran kerajaannya.

Murtaza mengetuai kumpulan ekstremis sayap kiri selepas pentadbiran bekas presiden Zia-ul-Haq menjatuhkan hukuman mati terhadap bapanya, Zulfiqar pada 1979, berselisih faham dengan Benazir yang didakwanya mengkhianati perjuangan bapa mereka.


Fatima yang sering disifatkan media Pakistan sebagai pewaris dan memikul tanggungjawab berat dalam keluarga Bhutto, sejak akhir-akhir ini sering mengeluarkan kenyataan mengkritik ibu saudaranya.

Dalam kenyataan terbaru. Fatima menuduh Benazir melindungi dirinya sendiri ketika kepulangannya ke Pakistan dengan menggunakan kereta perisai ketika ketika lalu di hadapan beratus ribu penyokongnya walaupun sudah diberi amaran mengenai kemungkinan serangan ke atasnya.

"Mereka mati kerana agenda peribadi Benazir dan mereka mati kerana kepentingan diri wanita itu," katanya.

Fatima yang menerima pendidikan sama seperti Benazir di Amerika dan Britain turut mengecam tindakan kerajaan Presiden Pervez Musharraf menarik balik dakwaan rasuah terhadap Benazir yang membolehkan bekas pemimpin itu kembali ke Pakistan.

"Erti dan kesan di sebalik penarikan semula dakwaan ini sangat menakutkan untuk Pakistan," katanya yang menambah beliau tidak akan menyertai politik Pakistan dalam tempoh terdekat.

"Saya tidak dapat meramal apa yang akan berlaku pada masa depan tetapi ada banyak cara selain politik untuk menyatakan pendirian dan saya memilih cara yang saya lakukan sekarang," katanya. � AFP

0 comments: