Dr Faiz dinaikkan pangkat kepada mejar

MOSCOW: Calon kedua angkasawan negara, Dr Faiz Khaleed dinaikkan pangkat daripada kapten kepada mejar Angkatan Tentera Malaysia berkuatkuasa serta merta, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Beliau berkata kenaikan pangkat Dr Faiz itu dibuat selepas beliau berbincang dengan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jen Tan Sri Abdul Aziz Zainal.

“Sejak Dr Faiz menjalani latihan angkasawan, beliau dianggap sebagai ikon negara dan kenaikkan pangkat itu bertujuan membolehkan beliau memberi dorongan kepada generasi muda supaya berusaha gigih bagi mencapai sesuatu kejayaan,” katanya ketika berucap di majlis makan lewat malam di sini (jam 3 pagi waktu tempatan, 7 pagi waktu Malaysia).


Hadir sama pada majlis itu ialah isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Jamaludin Jarjis dan Jen Abdul Aziz.

Dr Faiz, 27, masih bertugas dengan ATM dan dipinjamkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sejak program angkasawan itu dimulakan.

Ditanya mengenai perasaannya terhadap pengumuman itu Faiz berkata: “Ia satu kejutan buat saya, dan saya benar-benar gembira mendengarnya.”

Dr Faiz, seorang doktor pergigian menjawat jawatan Kapten sebaik sahaja mula bertugas dengan ATM pada 2004.

Ditanya adakah beliau akan kembali berkhidmat dengan ATM selepas program angkasawan negara tamat nanti, beliau berkata: “Saya masih kakitangan angkatan tentera dan pada masa ini saya dipinjamkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.”

Beliau berkata tempoh pinjaman beliau kepada Kementerian itu dijangka dilanjutkan bagi misi angkasawan akan datang, dan beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan ATM atas kenaikkan pangkatnya itu. — Bernama

0 comments: