Financial Times mohon maaf

Artikel akui silap tuduh PM Singapura, Kuan Yew

SINGAPURA: Financial Times London semalam memohon maaf kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan bapanya, Lee Kuan Yew selepas akhbar itu menyifatkan Perdana Menteri terbabit mendapat jawatannya dengan bantuan bapa beliau.

Dalam permohonan maaf disiarkan semalam, akhbar perniagaan itu berkata artikel mereka bertarikh 29 September yang bertajuk Sovereign Funds Try To Put On An Acceptable Face menyifatkan Lee Kuan Yew bertanggungjawab dalam menjamin pelantikan anak beliau sebagai perdana menteri.


"Kami mengaku dan bertanggungjawab terhadap dakwaan berkenaan yang silap dan langsung tidak berasas," kata akhbar terbabit.

Kuan Yew sendiri adalah Perdana Menteri pertama Singapura, jawatan yang dipegangnya selama beberapa dekad hingga beliau meletak jawatan pada 1990.

Beliau kekal dalam Kabinet anak lelakinya itu dengan memegang jawatan sebagai Menteri Mentor.

Financial Times yang dimiliki Pearson berkata mereka bersetuju untuk membayar pampasan terhadap Lee dan anaknya serta isteri Lee Hsien Loong, Ho Ching yang juga ketua dana pelaburan negara itu, Temasek. Jumlah pampasan itu bagaimanapun tidak dinyatakan.

Pemimpin Singapura mengancam atau mengambil tindakan undang-undang dan sering memenangi permohonan maaf dan pampasan daripada kebanyakan pertubuhan media asing sejak dulu apabila mereka melaporkan mengenai politik tempatan termasuk Economist, International Herald Tribune dan Bloomberg.

Majalah Far Eastern Economic Review yang dimiliki Dow Jones & Co pada masa ini turut berhadapan dengan saman fitnah Lee dan anaknya itu.

Pegawai Singapura berkata tindakan undang-undang adalah penting untuk melindungi reputasi mereka.

Financial Times juga memohon maaf kerana menyifatkan Hsien Loong turut merancang jaminan perlantikan isterinya, Ho Ching sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Temasek dan bahawa Ho cuba membantu adik iparnya Lee Hsien Yang dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif DBS Group Singapura, bank terbesar di Asia Tenggara. � Reuters

0 comments: