Pasukan siasatan khas Bukit Aman ketuai kes bunuh Nurin

KUALA LUMPUR 21 Sept. – Pasukan penyiasatan khas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah ditubuhkan bagi bagi membantu usaha memburu dan menangkap suspek yang terlibat dalam pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin, kata Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan.

“Saya memandang serius kes ini dan kita sedang kumpul maklumat. Pasukan Siasatan Khas ini mempunyai strategi khas dan rangkaian mereka yang tersendiri sehingga tertangkapnya penjenayah itu.

“Buat masa ini saya tidak boleh mendedahkan kaedah atau bagaimana mereka akan membuat siasatan. Ini kerana kalau kita (polis) beritahu semua, nanti suspek akan larikan diri,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan suspek mungkin berada di luar Lembah Klang selepas media menyiarkan berita mengenai kehilangan dan kematian Nurin Jazlin.

“Saya minta semua pihak bekerjasama dalam kes ini dan jangan buat sebarang spekulasi dalam media. Kita cuba sedaya upaya,” katanya.

Pada 20 Ogos lepas, Nurin Jazlin, 8, pelajar tahun dua Sekolah Kebangsaan Desa Setapak, dilaporkan hilang selepas keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini.

Usaha pelbagai pihak mencari Nurin selama sebulan di Kuala Lumpur dan beberapa negeri di seluruh negara gagal menemui kanak-kanak itu.

Bagaimanapun, pada Isnin lalu, selepas 27 hari kehilangan Nurin Jazlin, orang ramai digemparkan dengan penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan dalam sebuah beg pakaian di sebuah premis perniagaan di Jalan PJS 1/48, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya.

Sementara itu Bernama difahamkan polis telah merekod keterangan daripada seorang lelaki, yang berada berhampiran lokasi kejadian pada hari sebelum beg itu ditemui.

Lelaki itu dikatakan boleh menyalurkan maklumat yang penting dalam membantu polis menyelesaikan kes pembunuhan Nurin.

Difahamkan polis juga cuba melihat rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) yang dipasang di premis bersebelahan dengan premis di mana beg itu ditemui.

– Bernama

0 comments: