6 kandang babi di Masjid Tanah ditutup

ALOR GAJAH 21 Sept. – Sebanyak enam kandang melibatkan 5,824 ekor babi telah dipindahkan dari tiga lokasi di Masjid Tanah dekat sini sejak awal bulan ini sehingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Pengangkutan negeri, Koh Nai Kwong berkata, ketiga-tiga lokasi yang terlibat ialah di Londang, Man Lok dan Bukit Beruang.

Menurut beliau, empat kandang tersebut telah ditutup dan dipindahkan pada awal bulan ini manakala selebihnya dilakukan semalam.

“Proses pemindahan babi di kawasan ini dijalankan mengikut jadual yang telah dipersetujui. Kami berharap proses ini berjalan lancar sehingga berakhir pada 4 Oktober ini,” katanya.

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita selepas melawat ladang ternakan babi di Londang, dekat sini hari ini. Ladang tersebut dipercayai satu-satunya ladang babi di kampung tersebut yang telah dikosongkan semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara, Datuk Ab. Karim Sulaiman.

Terdapat 87 penternak babi menjalankan usaha menternak binatang tersebut di seluruh kawasan Parlimen Masjid Tanah.

Pada 4 September lepas, kerajaan negeri menangguhkan operasi memusnahkan lebihan ternakan babi di kawasan berkenaan setelah penternak berjanji untuk mengurangkan sendiri ternakan mereka daripada 160,000 ekor kepada 48,000 ekor dan mereka diberi tempoh sehingga hari ini.

Bagaimanapun, memandangkan proses pengurangan tersebut berjalan agak perlahan, kerajaan negeri memberi tempoh baru iaitu sehingga 4 Oktober ini.

Mengikut jadual, sebanyak lima kandang mengandungi 3,007 ekor babi di Man Lok ditutup semalam manakala lima kandang melibatkan 12,230 ekor lagi di Man Lok, Bukit Beruang dan Londang akan ditutup pada 30 September ini.

Pada 4 Oktober ini, iaitu tarikh akhir proses tersebut, sebanyak 15 kandang mengandungi 22,576 ekor babi di Man Lok dan Bukit Beruang pula akan ditutup.

Nai Kwong berkata, beliau akan mengadakan beberapa siri perbincangan lagi dengan para penternak babi di daerah ini bagi menyelesaikan beberapa masalah berbangkit.

“Esok saya akan mengadakan perbincangan lagi dengan para penternak terutama untuk menyelesaikan masalah berhubung isu ambil alih tanah oleh kerajaan negeri,” kata beliau.

0 comments: