Klip video: PM arah siasat

Oleh: ROZAMAN ISMAIL

PUTRAJAYA 21 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, polis perlu menyiasat segera dakwaan kewujudan klip video yang menunjukkan seorang peguam kanan sedang bercakap dengan seseorang berhubung pelantikan hakim-hakim di negara ini.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi menentukan sama ada klip video berkenaan boleh dipercayai atau tidak.

‘‘Klip video dan transkripnya telah dihantar ke pejabat saya. Soalnya, adakah ia betul dan boleh dipercayai?

‘‘Ini yang penting kerana video itu menunjukkan seorang peguam bercakap seorang diri sahaja. Lagi seorang kita tidak tahu siapa yang bercakap,” kata Abdullah pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Suruhanjaya Polis ke-71 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Abdullah diminta mengulas pendedahan sebuah parti politik pembangkang mengenai rakaman video yang menunjukkan seorang peguam kanan sedang berbual dalam telefon tentang usahanya membantu pelantikan beberapa hakim.

Menurut Perdana Menteri, siasatan itu perlu dijalankan kerana klip video itu membawa cerita yang menjejaskan nama baik sistem kehakiman negara ini dan tidak boleh dipandang ringan.

‘‘Laporan itu sudah tentu akan memberi nama tidak baik kepada sistem kehakiman kita,” katanya.

Menurut Abdullah, Malaysia mempunyai undang-undang dan tindakan boleh diambil ke atas mereka yang terlibat menimbulkan dakwaan tidak betul kerana perbuatan itu dilihat sebagai satu tindakan untuk menimbulkan rasa marah dan benci rakyat terhadap sistem kehakiman.

‘‘Kalau tuduhan dan klip video itu tidak betul, sudah tentu ia merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan,” katanya.

Ditanya sama ada sebuah suruhanjaya diraja perlu ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu, Perdana Menteri menegaskan, langkah tersebut tidak perlu kerana kesahihan klip video itu belum dibuktikan lagi.

‘‘Tak payah kita buat... maklumat yang dikemukakan pun belum ditentukan sah.

‘‘Apa perlunya suruhanjaya sedangkan maklumat itu belum sahih? Kalau betul, itu soal lain,” tegas Perdana Menteri.

0 comments: