Kes Nurin: Polis siasat unsur cuai


SELAMAT BERSEMADI: Ibu Nurin, Norazian Bistaman menyiram air mawar pada pusara anaknya sambil diperhatikan Jazimin (kanan) di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota dekat Wangsa Maju, semalam.

Ibu bapa boleh didakwa: Musa

PUTRAJAYA: Polis akan mencadangkan kepada Pejabat Peguam Negara supaya mendakwa ibu bapa kanak-kanak mangsa culik yang mati dibunuh, Nurin Jazlin Jazimin, jika terdapat unsur kecuaian.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata sudah tiba masanya tindakan mengikut Akta Kanak-Kanak diambil supaya semua ibu bapa lebih bertanggungjawab terhadap keselamatan anak masing-masing.

"Walaupun peruntukan itu ada tetapi ia tidak pernah digunakan. Saya rasa sudah tiba masanya untuk ibu bapa lebih bertanggungjawab terhadap anak-anak.

"Jika ada unsur kecuaian, kami akan cadangkan (supaya ibu bapa didakwa) kepada Pejabat Peguam Negara," katanya di Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) di sini, semalam.

Musa yang sebelum itu menghadiri mesyuarat Suruhanjaya Polis Ke-71 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, diminta mengulas tindakan polis berikutan peningkatan bilangan kes kehilangan kanak-kanak disebabkan kecuaian ibu bapa.

Mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001, ibu bapa atau penjaga yang cuai atau membiarkan anak mereka tanpa pengawasan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000.

Isu hukuman terhadap ibu bapa yang cuai itu dibangkitkan di Parlimen pada 9 Mei lalu berikutan peningkatan jumlah kanak-kanak hilang sejak 2003 iaitu sebanyak 1,914 kes.

Kelmarin, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, selepas perbincangan mengenai keselamatan kanak-kanak dengan polis dan badan sukarela, berikrar kementeriannya akan melakukan apa saja bagi memastikan kes kehilangan kanak-kanak seperti itu tidak berulang.

Shahrizat berkata, kementeriannya sebelum ini keberatan untuk mengambil tindakan terhadap ibu bapa yang cuai kerana ia dilihat sebagai isu sensitif dan mencampuri urusan keluarga.

"Undang-undang itu membenarkan kita mengambil tindakan terhadap ibu bapa yang mengabaikan anak mereka. Mulai sekarang, kita akan mengenal pasti mereka yang sengaja mengabaikan anak dan menghadapkan mereka ke mahkamah," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria, menggesa ibu bapa atau penjaga mesti mengiringi kanak-kanak di bawah 12 tahun di tempat awam bagi mengelak mereka daripada diculik.

Selain itu katanya, Akta Perlindungan Kanak-Kanak juga mesti dipinda bagi memastikan semua pihak tidak menjadikan kanak-kanak sebagai bahan menagih simpati atau dieksploitasi untuk tujuan negatif seperti menjadi buruh atau meminta sedekah.

0 comments: