'Usah perbesar isu perkauman'

OlehSaufi Hamzah


SEMANGAT MUHIBAH: Najib dan Datin Seri R Indrani menyalakan pelita pada majlis rumah terbuka Deepavali peringkat kebangsaan 2007 di Kuala Lumpur, semalam.

Atasi masalah kaum, agama, budaya di meja rundingan secara muafakat: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mahu semua pemimpin kaum di negara ini memikul tanggungjawab bagi memastikan tiada pihak sengaja cuba memperbesar-besarkan atau mengapi-apikan isu perkauman.

Timbalan Perdana Menteri berkata, setiap pemimpin perlu peka bahawa isu perkauman harus ditangani dengan baik kerana perpaduan adalah asas utama, bukan saja untuk membangunkan negara, malah untuk membentuk masyarakat progresif.

"Jangan main api perkauman, sekali menyala sukar dipadamkan. Api ketika kecil adalah kawan tetapi apabila menjadi besar, ia akan membawa padah serta kebinasaan yang tidak menguntungkan sesiapa, malah merugikan semua.


"Setiap kaum mempunyai sensitiviti. Seperti disarankan Perdana Menteri, isu berkaitan kaum, agama dan kebudayaan perlu diselesaikan di meja rundingan secara muafakat," katanya berucap merasmikan majlis rumah terbuka Deepavali peringkat kebangsaan 2007 di sini, semalam.

Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim; Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu dan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting.

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa timbalan menteri serta setiausaha Parlimen pelbagai kementerian.


Najib berkata, setiap pemimpin dan rakyat perlu peka bahawa apa saja yang mahu dilakukan bagi membawa pembangunan dan membela masyarakat di negara ini perlu dilaksanakan secara bersama serta berlandaskan perpaduan.

"Dengan perpaduan, tiada yang mustahil untuk dicapai dan Malaysia boleh menjadi sebagai model sebuah negara majmuk kepada seluruh dunia," katanya.

Najib berkata, sungguhpun Islam adalah agama rasmi negara ini, Perlembagaan memberi kebebasan kepada penganut agama lain untuk melakukan amalan mengikut kepercayaan serta budaya masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan akan mempertahankan perpaduan yang diasaskan oleh pemimpin terdahulu kerana muafakat dan kerjasama antara kaum itulah resipi terbaik membina kekuatan menghadapi cabaran yang kian melanda.

Sementara itu, katanya, Malaysia tidak memerlukan perhimpunan haram dan demonstrasi jalanan sebagai saluran untuk mana-mana kumpulan menyuarakan pandangan mereka kerana ia bukan budaya rakyatnya.

"Jika perhimpunan semalam (kelmarin) dapat mengumpulkan beribu-ribu orang, kerajaan Barisan Nasional (BN) boleh menghimpun lebih daripada itu. Apa gunanya demonstrasi berarak ke sana ini kerana ia terdedah kepada sebarang kemungkinan yang boleh meruntuhkan segala yang dibina.

"Untuk meruntuhkan sebuah negara mudah, tapi untuk membinanya susah," tegasnya yang berharap rumah terbuka Deepavali peringkat kebangsaan dikekalkan dan dimantapkan selaras hasrat kerajaan memperkukuhkan perpaduan.

0 comments: