Guru lapor kes dera patut dilindungi

KUALA LUMPUR: Langkah mewajibkan guru, pegawai perubatan swasta dan penjaga badan bukan kerajaan (NGO) melaporkan sebarang kes penderaan terhadap kanak-kanak dilihat mampu mengatasi masalah itu.

Bagaimanapun, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu supaya kerajaan memberi perlindungan terhadap guru yang melaporkan sesuatu kes penderaan kepada pihak berkuasa.

Setiausaha Agung NUTP, Loke Yim Pheng, berkata melaporkan kes membabitkan keselamatan murid seperti penderaan sudah menjadi sebahagian tanggungjawab guru sejak dulu.

"Murid sudah dianggap sebagai anak oleh guru. Bagaimanapun mungkin mereka menutup mata saja jika mengetahui keselamatan anak murid mereka tergugat.

"Apa yang ditakuti oleh guru apabila membuat laporan ialah keselamatan mereka. Diharap kerajaan dapat melakukan sesuatu mengenai hal ini selepas mewajibkan mereka melaporkan kepada pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata pegawai perubatan swasta, guru dan penjaga NGO diwajibkan melaporkan sebarang kes penderaan termasuk seksual terhadap kanak-kanak dalam pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 yang akan dibentangkan kepada Kabinet bulan depan.

Ketika ini, akta berkenaan hanya mewajibkan pengasuh dan pegawai perubatan kerajaan membuat laporan mengenai penderaan kanak-kanak.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Kebajikan Masyarakat Kebangsaan (Makpem), Zainal Abidin Md Alias, berkata tiga golongan itu antara pihak pertama yang mendapat maklumat awal jika berlaku sebarang penderaan terhadap kanak-kanak.

"Semua pihak termasuk orang awam juga perlu memainkan peranan mereka, tidak perlu diarahkan wajib baru nak lapor. Sepatutnya apabila kita tahu ada kes sedemikian kita harus buat laporan," katanya.

Ditanya mengenai ada masyarakat yang tidak mahu melaporkan kes seumpama itu kerana dikhuatiri dianggap 'menjaga tepi kain orang', Zainal Abidin berkata, ia tidak sepatutnya berlaku terutamanya apabila mengetahui ada kanak-kanak yang memerlukan bantuan.

0 comments: