Empat ‘atlet’ terkejut mereka adik-beradik terpisah

Oleh JAAFAR AHMAD

JOHOR BAHRU 11 Nov. – Seorang kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang (PBTPG), Mohd. Hair Ahmad, 50, terkejut apabila mendapati tiga pesaingnya sebagai ‘atlet’ dalam Sukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang diadakan di Johor selama ini, merupakan adik-adik kandungnya yang berlainan ibu.

Menurutnya, ini kerana selama ini mereka tidak pernah menyangka memiliki pertalian darah walaupun sering bertemu dan bersaing dalam beberapa acara sukan PBT yang diadakan sejak lima tahun lalu.

Mohd. Hair berkata, pesaing sukannya itu ialah Siti Rohana, 44, Mohd. Rofingi Ahmad, 42 dan Siti Rofeah Ahmad, 39 yang kesemuanya merupakan kakitangan Majlis Perbandaran Muar (MPM).

Menurut beliau, ini kerana mereka tidak pernah bersua dan mengenali antara satu sama lain setelah bapa mereka Ahmad Abdul Rahman, 69, berpisah dengan ibunya, Sumirah Daim, kira-kira 50 tahun lalu.

‘‘Namun saya bersyukur dan gembira apabila mengetahui yang kami ini adik beradik berlainan ibu,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau berkata, mereka mula mengetahui mempunyai pertalian darah apabila pertama kali bertemu bapanya sempena Hari Raya Aidilfitri pada 27 Oktober lalu, yang turut diiringi ketiga-tiga kakitangan MPM itu.

‘‘Kami terkejut kerana tidak menyangka sama sekali yang kami ini adik beradik,” katanya.

Mohd. Hair menyifatkan pertemuan mereka sebagai rahmat kerana dapat menyatu dan mengeratkan lagi pertalian yang terpisah sejak sekian lama.

Sementara itu, adiknya, Mohd. Rofingi turut melahirkan rasa gembira apabila mengetahui bahawa Mohd. Hair yang selama ini dianggap sebagai rakan sukan sebenarnya abang kandungnya.

‘‘Saya tidak menyangka pemergian saya dan ayah ke tanah suci Mekah kerana mengerjakan haji tahun lalu membawa berkat sehingga menemukan Mohd. Hair yang terpisah dengan bapa sejak 50 tahun lalu,” kata Mohd. Rofingi.

0 comments: