Putera Umno bantu remaja tercicir pelajaran

KUALA LUMPUR: Putera Umno akan mengadakan gerak gempur mengesan remaja yang tercicir dalam pelajaran di Kelantan, Terengganu dan Pahang, supaya dapat mengikuti Program Skim Peluang Kedua, tidak lama lagi.

Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata biro berkenaan akan memulakan gerakan mengesan remaja di setiap kawasan Parlimen, bermula Kelantan, Terengganu dan Pahang, selama tiga bulan yang berakhir Januari depan.

Katanya, mereka akan diberi peluang kedua untuk mengikuti kursus kemahiran tertentu mengikut kelayakan dan minat mereka supaya boleh mendapat pekerjaan sesuai selepas itu.

"Kita akan bergerak dari satu daerah ke daerah lain di Kelantan untuk membantu remaja tercicir dalam pelajaran supaya didedahkan dengan kemahiran vokasional, sekali gus berupaya mendapatkan kerja lebih baik untuk membantu keluarga masing-masing.

"Sasaran awal kita ialah menawarkan peluang berkenaan kepada 5,000 remaja di setiap negeri di negeri Pantai Timur tanpa mengambil kira ideologi dan fahaman politik ibu bapa masing-masing," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Skim Peluang Kedua Putera Umno memberi peluang pendidikan dan kerjaya kepada remaja berusia antara 18 hingga 25 tahun yang tercicir dalam pelajaran bagi mengikuti program vokasional, antaranya automotif, perhotelan, ukiran kayu, kejururawatan, paramedik, selain menguasai bahasa Inggeris.

Semua program kemahiran yang menggunakan dana Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Belia dan Sukan itu akan diadakan selama setahun, iaitu masing-masing enam bulan teori dan praktikal.

Abdul Azeez berkata, tujuan Putera Umno mengesan remaja berkenaan juga bagi memastikan generasi muda memiliki ilmu pengetahuan dan kemahiran sejajar usaha kerajaan untuk menghasilkan modal insan berkualiti.

Beliau berkata, remaja berkenaan yang sudah dilengkapi kemahiran itu juga boleh menggantikan sumber tenaga pekerja asing yang pada masa kini jumlahnya di beberapa sektor pekerjaan didapati melebihi jumlah pekerja tempatan.

"Kita harap mereka yang mengikuti program Skim Peluang Kedua dapat menggantikan pekerja rakyat asing seperti di sektor pembinaan dan perkhidmatan pada masa akan datang," katanya.

0 comments: