Kenaikan tambang feri ditangguh

Oleh Hamzah Osman

Keputusan kekal harga tiket ke Langkawi membabitkan kerajaan Kedah, Pusat



LANGKAWI: Cadangan menaikkan tambang feri bagi laluan Langkawi ke Kuala Kedah dan Kuala Perlis yang dijangka bermula Khamis ini, ditangguhkan.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, di sini, semalam sekali gus melegakan banyak pihak terutama penduduk pulau peranginan ini.


Tanpa mahu menjelaskan lanjut, Mahdzir berkata, keputusan menangguhkan kenaikan tambang feri itu membabitkan kata sepakat kerajaan negeri dan Pusat.

"Kerajaan negeri dan Pusat menangguhkan kenaikan tambang (feri)," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan pilihan raya Umno bahagian Langkawi, di pejabat Umno Bahagian, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Langkawi yang juga Ketua Umno bahagian, Datuk Paduka Abu Bakar Taib; Timbalan Ketua Umno bahagian, Datuk Nawawi Ahmad; Ketua Wanita, Mariyam Othman; Ketua Pemuda Kedah yang juga Ketua Pemuda Langkawi, Mohd Rawi Abd Hamid dan Ketua Puteri, Hisham Suhaily Othman.


Berikutan itu, tambang feri bagi kedua-dua laluan itu kekal pada harga lama iaitu RM18 untuk dewasa dan RM12 (kanak-kanak) bagi perjalanan ke Kuala Kedah, manakala masing-masing RM15 dan RM10 ke Kuala Perlis.

Penduduk tempatan dan kakitangan kerajaan yang bertugas di Langkawi turut kekal mendapat potongan harga RM3 dengan syarat mereka perlu menunjukkan kad pengenalan atau surat akuan majikan.

Sebelum ini, ura-ura kenaikan tambang itu dibantah keras penduduk tempatan yang menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak yang dipengerusikan Pengerusi Biro Pengguna Umno bahagian Langkawi, Hashim Saad.

Difahamkan, jawatankuasa itu melakukan kempen mengumpul 80,000 tanda tangan penduduk tempatan termasuk Ketua Umno cawangan dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Abu Bakar mengalu-alukan langkah kerajaan itu dan menyifatkannya sebagai satu tindakan wajar dan mendengar pandangan rakyat.

"Kita bersyukur kerana kerajaan menangguhkan kenaikan tambang feri itu," katanya.

0 comments: