Peneroka Felda peroleh RM12,000 sebulan

Oleh WAN RAMLI WAN MUHAMAD

HULU TERENGGANU 11 Nov. – Terdapat peneroka Felda negeri ini kini menikmati pendapatan bulanan yang mencecah lingkungan RM10,000 hingga RM12,000 sebulan.

Menurut Penolong Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Abdul Hadi Mohd. Yusof, pendapatan sehingga RM12,000 sebulan itu juga dinikmati oleh peneroka di negeri-negeri lain.

‘‘Kenaikan harga sawit secara mendadak sehingga RM580 bagi satu tan metrik berlaku sejak dua tiga bulan lalu berbanding harga sawit sebelum ini hanya RM200 bagi satu tan metrik.

‘‘Pengurusan Felda yakin jika semua peneroka mengusahakan ladang sawit secara sistematik, pendapatan mereka mampu mencecah pulangan yang lebih tinggi,” kata Abdul Hadi kepada Utusan Malaysia selepas meraikan peneroka Felda yang bakal mengerjakan haji di Masjid Felda Bukit Bading di sini hari ini.

Beliau berkata, pihak pengurusan Felda mengenal pasti seramai 100 peneroka daripada keseluruhan 7,463 peneroka dari 15 rancangan Felda di negeri ini telah memperoleh pendapatan sehingga RM12,000 sebulan.

Para peneroka selebihnya menikmati pendapatan dalam lingkungan RM2,000 hingga RM6,000 sebulan.

‘‘Peningkatan itu berlaku mungkin ekoran kenaikan harga kelapa sawit di pasaran selain kehidupan peneroka sudah mengalami peningkatan,” ujar Abdul Hadi.

Sementara itu, seorang daripada peneroka yang akan menunaikan haji, Awang Abdullah, 68, berkata, beliau sekarang memperoleh pendapatan RM6,000 sebulan selepas sawit yang diusahakan di kawasan seluas 10 hektar memperoleh hasil yang cukup lumayan.

‘‘Saya bersyukur kepada Allah kerana hasil keringat saya dulu sudah memberikan hasil yang lumayan. Dulu saya cuma dapat RM1,000 tetapi kini RM6,000 sebulan,” katanya.

0 comments: