Pusat jamin Sabah, Sarawak tak tercicir

Oleh Hassan Omar

KOTA KINABALU: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi jaminan kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus melaksanakan pembangunan di Sabah dan Sarawak walaupun mengambil masa agak lama.

Perdana Menteri menegaskan, Wilayah Ekonomi Sabah dan Sarawak yang bakal dilancarkan sebelum Januari depan adalah bukti komitmen BN memajukan kedua-dua negeri tetapi memerlukan masa berikutan faktor geografi.

Beliau berkata, kebanyakan kawasan di kedua-dua negeri itu memerlukan masa menerima pembangunan berikutan aspek logistik, iklim dan fizikal, terutama pedalaman bergunung-ganang yang menyukarkan perhubungan.

"Ada kawasan memerlukan masa (untuk dimajukan) kerana aspek infrastruktur yang perlu ditingkatkan tetapi ia bukan bermakna kita tidak memberi perhatian.

"Walaupun mengambil masa, akhirnya semua kawasan akan dimajukan," katanya berucap merasmikan Perhimpunan Agung Parti Liberal Demokratik (LDP) di Menara Tun Mustapha di sini, semalam.

Sehubungan itu, Abdullah mengingatkan pemimpin parti komponen BN Sabah supaya bersedia memikul tanggungjawab melaksanakan pembangunan melalui kerjasama semua lapisan masyarakat.

Katanya, kejayaan BN membangunkan negara bukan setakat bergantung kepada persefahaman parti komponen BN, malah rakyat yang menilai kepemimpinan menerusi pilihan raya.

Bagi memastikan kesinambungan pembangunan pada masa depan, Abdullah berkata, aspek pembangunan modal insan yang bakal melahirkan tenaga kerja dan pentadbir berkualiti harus sentiasa diutamakan.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Pelajaran mempunyai tugas berat memajukan pelajaran di Sabah dan Sarawak, terutama di pedalaman.

Mengenai LDP, Abdullah berkata, walaupun parti itu dipimpin Liew yang agak muda selepas mengambil alih kepemimpinan Chong pada September tahun lalu, beliau yakin LDP mampu memperkukuh BN Sabah.

"Walaupun pertama kali berucap sebagai presiden parti dalam perhimpunan agung, saya lihat ucapan Liew jelas, terang dan meyakinkan," katanya.

Terdahulu, Abdullah meluangkan kira-kira sejam menghadiri majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran MIC Sabah di Kompleks Sukan Likas, di sini. Hadir sama, Pengerusi MIC Sabah, Datuk V Jothi dan pemimpin parti komponen BN negeri lain.

Sementara itu, Abdullah dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah yang mengadakan lawatan kerja dua hari ke negeri ini dijadual tiba di Lapangan Terbang Miri, jam 3 petang ini.

Ketibaan Perdana Menteri dan isteri akan diberi sambutan penuh warna-warni dan tradisional Sarawak serta dihadirilebih 2,000 penyokong BN negeri.

Sejurus tiba, Abdullah dan Jeanne akan terus ke Bulatan Pujut, bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Jejambat Pujut yang bernilai RM85 juta.

0 comments: