Dialog Suhakam dapat sambutan di Kelantan

KOTA BHARU 11 Nov. – Peluang untuk berdialog dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) melalui Program Suhakam Bersama Rakyat Kelantan mendapat sambutan hangat apabila hampir 1,000 orang menyertainya.

Pesuruhjaya Suhakam, Datuk N. Siva Subramaniam berkata, jumlah kehadiran itu di luar dugaan kerana penganjur pada awalnya, hanya menyasarkan sekitar 400 orang.

Walaupun dewan penuh sesak, menurutnya, sesi dialog berjalan penuh tertib dengan pelbagai isu dibangkitkan terutama masalah jenayah yang semakin membimbangkan, selain hak pendidikan dan kebajikan.

‘‘Kita ingatkan soalan berkaitan politik akan jadi tumpuan, tetapi sebaliknya banyak isu lain yang lebih dekat di hati mereka.

‘‘Atas faktor itu, kita berpuas hati hari ini kerana rakyat semakin faham bahawa hak asasi sebenarnya mencakupi konteks yang luas dan bukan sekadar politik semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Suhakam Bersama Rakyat Kelantan di sebuah hotel peranginan di sini hari ini.

Selain kehadiran kakitangan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan termasuk Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, program mendapat sambutan badan bukan kerajaan serta individu.

Naib Pengerusi Suhakam, Tan Sri Panglima Simon Sipaun menyampaikan ucaptama yang kemudian diikuti sesi dialog bersama peserta. Hadir sama Pesuruhjaya Suhakam, Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady.

Sementara itu, Siva berkata, pihaknya akan meneruskan program yang sama pada masa hadapan di negeri ini dengan kemungkinan menumpukan kepada jajahan-jajahan lain.

Katanya, ini berdasarkan keyakinan Suhakam terhadap sambutan rakyat Kelantan berikutan jumlah kehadiran hari ini, merupakan antara yang tertinggi pernah dicatatkan.

‘‘Pendedahan akan diteruskan agar setiap peringkat masyarakat tanpa mengira latar belakang sedar tentang hak asasi masing-masing,” ujarnya.

0 comments: