Kerajaan diminta sekat warga asing guna petrol subsidi

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta segera melaksanakan kaedah bagi mengelakkan kenderaan warga asing di negara ini terus menikmati kemudahan subsidi petrol dan diesel.

Pada masa ini, ribuan kenderaan warga asing seperti dari Singapura dan Thailand mengambil kesempatan mengisi petrol dan diesel di stesen minyak tempatan terlebih dulu sebelum kembali ke negara mereka.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Johor, Khalid Mohamed, berkata kerajaan sepatutnya tidak berkompromi terhadap kenderaan warga asing, sebaliknya melaksanakan satu kaedah supaya mereka yang mengisi petrol dan diesel di negara ini membayar harga bahan api itu tanpa subsidi.

Katanya, ia sekali gus boleh memberi pendapatan tambahan kepada kerajaan dan dapat mengurangkan beban kerajaan menanggung subsidi minyak kerana kenaikan harga minyak mentah yang semakin meningkat setiap tahun.

"Apabila kerajaan mahu menstruktur semula agihan sistem subsidi, kenderaan warga asing yang sudah lama menikmati kemudahan subsidi petrol dan diesel perlu diperhalusi. Kita dapati sejak lima tahun kebelakangan ini, harga minyak mentah dunia lebih banyak meningkat.

"Satu kaedah khas diadakan dengan mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan asing atau mewujudkan satu terminal khas menjual petrol dan diesel tanpa subsidi untuk mereka di stesen minyak di bandar raya yang bersempadan negara lain," katanya di sini semalam.

Pada Perhimpunan Agung Umno 2007 berakhir Jumaat lalu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan kerajaan akan melakukan penstrukturan semula sistem subsidi melalui konsep pengagihan lebih adil yang mensasarkan rakyat berpendapatan rendah sebagai penerima utama bantuan itu.

Perdana Menteri menegaskan, walaupun sukar untuk mengekalkan subsidi ekoran harga minyak dunia yang terus meningkat sekarang, kerajaan akan meneruskan skim bantuan itu tetapi ia perlu disasarkan kepada kumpulan rakyat yang benar-benar memerlukan.

Khalid yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Johor Bahru berkata, walaupun kerajaan menjual harga runcit bahan api tanpa subsidi kepada rakyat asing seperti Singapura, nilainya masih rendah kerana tukaran mata wang asing.

"Ini sudah tentu memberi pendapatan tambahan kepada kerajaan dan boleh diagihkan kepada subsidi lain seperti bidang kesihatan, bantuan keperluan isi rumah dan pembangunan kemudahan prasarana yang boleh menjana ekonomi dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan," katanya

Jika tanpa subsidi dan pengecualian cukai kerajaan, harga runcit petrol RON97, RON92 dan diesel bagi Semenanjung pada Mac 2006 sepatutnya RM2.46 atau bersamaan mata wang Singapura S$1.08, RM2.37 (S$1.04) dan RM1.98 (S$0.87) seliter.

Berikutan tukaran mata wang, harga petrol dan diesel tanpa subsidi itu masih rendah berbanding harga seliter petrol RON97 iaitu RM4.15, RON92 (RM3.89) dan diesel RM2.39 di stesen minyak di republik itu.

Selain itu, katanya, cadangan mengenakan caj RM20 terhadap kenderaan dari Singapura dan Thailand yang memasuki negara sebelum ini ditangguhkan perlu dipercepatkan pelaksanaannya kerana ia memberi sumber pendapatan kepada kerajaan.

"Caj itu 'adil' kepada rakyat tempatan berikutan banyak faedah diperoleh warga asing, terutama harga petrol dan diesel yang murah berbanding negara mereka," katanya.

0 comments: