Garis panduan paras bayaran tambahan sekolah

Oleh RAJMAH HASAN

KUALA TERENGGANU 11 Nov. – Kementerian Pelajaran mengeluarkan satu garis panduan berhubung paras siling bayaran tambahan yang akan dikenakan ke atas pelajar pada sesi persekolahan tahun depan berdasarkan tiga pakej yang mengambil kira keadaan sosioekonomi sesebuah sekolah.

Difahamkan pekeliling garis panduan itu sudah dihantar kepada semua Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) minggu lalu untuk diedarkan ke semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan seterusnya sekolah-sekolah.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, garis panduan itu dikeluarkan bagi memastikan jumlah bayaran tambahan ke atas beberapa kemudahan yang disediakan oleh pihak sekolah untuk kegunaan murid sepanjang tahun tidak membebankan ibu bapa khususnya yang berpendapatan rendah.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Pendidikan Terengganu 2007 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini hari ini, Alimuddin berkata, bayaran tambahan itu tidak termasuk Yuran Khas sebanyak RM4.50 bagi setiap murid sekolah rendah dan RM9.00 bagi setiap murid sekolah menengah.

Katanya, garis panduan Sistem Pakej Bayaran Tambahan itu adalah selaras dengan keputusan kerajaan memansuhkan Yuran Khas bagi semua pelajar sekolah rendah dan menengah pada pembentangan Bajet 2008 di Dewan Rakyat pada 7 September lalu.

Mulai 1 Januari depan, ibu bapa tidak perlu lagi membayar Yuran Khas berkenaan yang dianggarkan membabitkan jumlah kutipan sebanyak RM32 juta setahun.

Alimuddin berkata, enam perkara yang disenaraikan sebagai perkhidmatan dan kemudahan tambahan yang boleh dikenakan bayaran tambahan secara tahunan ialah kokurikulum, kertas ujian dalaman, sukan tahunan sekolah, kegiatan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral, skim perlindungan diri dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

Beliau berkata, perkara-perkara itu dinyatakan hanya sebagai rujukan untuk pihak sekolah membuat penetapan terhadap bayaran tambahan yang akan dikenakan kelak.

Bagaimanapun, katanya, kadar bayaran tambahan sebenar yang akan dikenakan masih bergantung kepada budi bicara pihak sekolah setelah perbincangan diadakan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Sebagai contoh, pihak sekolah dan PIBG boleh menetapkan bayaran tambahan pada kadar lebih rendah daripada bayaran paras siling yang dicadangkan melalui skim itu jika didapati pendapatan ibu bapa agak rendah.

‘‘Sekolah juga boleh mengecualikan bayaran itu ke atas keluarga miskin terutama ibu tunggal dengan memohon kepada Pengarah Pelajaran Negeri,” katanya.

Salinan pekeliling garis panduan yang diperoleh Utusan Malaysia daripada JPN Terengganu menyatakan Sistem Pakej Bayaran Tambahan itu antara lain disediakan bagi memudahkan pengurusan pihak sekolah dan JPN meluluskan serta memantau semua jenis pembayaran.

Pakej pembayaran itu dibahagikan kepada tiga kategori iaitu A, B dan C mengikut jenis dan lokasi sekolah, bilangan murid serta status sosioekonomi masyarakat setempat.

Pakej A membabitkan sekolah yang berada dalam kawasan sosioekonomi tinggi dengan majoriti ibu bapanya kumpulan peniaga besar atau kakitangan awam kumpulan profesional.

Bagi sekolah rendah dalam kategori ini, paras siling bayaran tambahan yang ditetapkan oleh kementerian ialah sebanyak RM38.50, manakala bagi sekolah menengah pula sebanyak RM55.50.

Pakej B iaitu sekolah yang berada dalam kawasan sosioekonomi sederhana dengan majoriti ibu bapa terdiri daripada kumpulan peniaga sederhana atau kakitangan awam kumpulan sokongan pula menetapkan paras siling pada RM30.50 bagi sekolah rendah dan RM44.50 bagi sekolah menengah.

Sekolah yang dikategorikan Pakej C pula ialah yang berada dalam kawasan sosioekonomi rendah dengan majoriti ibu bapa terdiri daripada kumpulan peniaga kecil, bekerja sendiri, pekerja ladang atau kakitangan awam kumpulan sokongan II, sekolah kawasan pedalaman dan sekolah kurang murid (SKM).

Untuk pakej berkenaan, paras siling bayaran yang ditetapkan ialah RM23.50 bagi sekolah rendah dan RM33.50 bagi sekolah menengah.

Pihak sekolah diminta memilih salah satu pakej pembayaran tersebut dengan mengambil kira persekitaran sekolah, pandangan guru-guru serta PIBG.

Berdasarkan pekeliling garis panduan tersebut, setiap sekolah perlu menubuhkan Jawatankuasa Khas Penentuan Bayaran Tambahan yang dianggotai oleh wakil guru-guru, ibu bapa dan dipengerusikan oleh pengetua atau guru besar untuk memilih pakej yang sesuai.

Pengetua yang bercadang mengenakan bayaran tambahan perlu mengemukakan permohonan pakej kepada Pendaftar Negeri melalui PPD untuk kelulusan dan mesti dikemukakan tidak lewat daripada 30 September setiap tahun.

0 comments: