Malaysia wajar guna tenaga nuklear 2020

Oleh KAMARULZAIDI KAMIS dan DALIZA ARIFFIN

BANGI 11 Nov. – Kerajaan wajar menimbangkan penggunaan tenaga nuklear sebagai alternatif menggantikan minyak bagi menjana elektrik menjelang 2020, kata Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (ANM), Datuk Dr. Daud Mohamad.

Beliau berkata, jika negara terus bergantung kepada minyak bagi menjana elektrik sedangkan harga komoditi itu terus meningkat, kerajaan pasti tidak ada pilihan melainkan terpaksa menaikkan kadar tarif elektrik dalam jangka panjang.

‘‘Penggunaan minyak akan menyebabkan rakyat terpaksa menanggung kenaikan kadar tarif elektrik yang tinggi selain meningkatkan kos operasi sektor perkilangan dan pembuatan,’’ katanya dalam satu temu bual dengan Utusan Malaysia di pejabatnya di sini.

Katanya, walaupun terdapat beberapa sumber tenaga alternatif seperti biodiesel, biogas, tenaga solar, tenaga angin, bioalkohol, arang batu dan hidro tetapi tenaga nuklear dilihat alternatif terbaik bagi negara kerana ia lebih murah dan mesra alam.

Daud berkata, pada masa ini lebih 80 peratus tenaga elektrik negara dijana menggunakan gas dan selebihnya menggunakan arang batu, minyak dan hidro.

‘‘Pada masa ini harga minyak mentah melepasi AS$90 setong dan trend menunjukkan harga komoditi itu akan terus naik melepasi AS$100 setong tidak lama lagi.

‘‘Tidak ada tanda-tanda harga minyak akan turun kembali di bawah paras AS$70 setong,’’ katanya.

Sehubungan itu, katanya, teknologi nuklear dilihat sebagai salah satu sumber tenaga alternatif yang boleh diteroka bagi mengelakkan negara terlalu bergantung kepada minyak dan gas.

‘‘Adalah tidak bijak membakar semua hasil minyak dan gas yang kita miliki untuk tujuan menjana tenaga elektrik, sedangkan komoditi itu boleh digunakan bagi menghasilkan produk nilai tambah yang boleh memberi keuntungan yang lebih besar kepada negara.

‘‘Malah penggunaan sumber minyak secara intensif akan menyebabkan sumber itu cepat habis dan tidak dapat diwarisi oleh generasi akan datang,’’ katanya.

Daud berkata, penggunaan tenaga nuklear juga lebih menjimatkan dalam jangka masa panjang, selain bahan buangannya boleh diproses semula untuk dijadikan bahan bakar hidrogen bagi kegunaan kenderaan.

Beliau berkata, tempoh pembinaan janakuasa nuklear juga mengambil masa yang singkat iaitu selama lima tahun.

Menurutnya, reka bentuk loji nuklear sekarang boleh bertahan sehingga 70 tahun berbanding hanya 40 tahun menggunakan teknologi lama.

Kata beliau, modal permulaan bagi membangunkan loji tenaga nuklear adalah sama dengan loji yang menggunakan minyak yang mengeluarkan kapasiti sama, namun dalam jangka panjang, penyenggaraan loji nuklear lebih murah dan dapat menjimatkan kos operasi sebanyak 25 peratus.

Beliau berkata, buat permulaan Malaysia perlu membina loji tenaga nuklear dengan kapasiti kira-kira 700 hingga 800 megawat elektrik iaitu kira-kira lima peratus daripada jumlah penggunaan tenaga elektrik dalam negara.

Katanya, bagi membina loji tenaga nuklear dengan kapasiti 700 dan 800 megawat elektrik, kerajaan terpaksa membelanjakan kira-kira RM1 bilion mengikut kos pada masa ini.

Menurut Daud, jika rakyat Malaysia dapat diberi maklumat yang jelas mengenai kebaikan tenaga nuklear dan sentimen negatif rakyat Malaysia terhadap penggunaan nuklear dapat dikikis, kerajaan tidak ada masalah untuk melaksanakan penggunaan tenaga itu menjelang 2020.

Katanya, Malaysia wajar melangkah ke arah penggunaan tenaga nuklear kerana Indonesia, Vietnam dan Thailand telah melaksanakan polisi untuk menggunakannya menjelang 2016, 2018 dan 2021.

0 comments: