Tuntutan Pulau Batu Putih: Malaysia buat persediaan 27 tahun

Daripada Khirul Bahri Basaruddin di The Hague, Belanda


PERBINCANGAN SERIUS: Delegasi Malaysia yang diketuai Abdul Kadir (kiri) ketika mesyuarat persediaan di Kedutaan Malaysia di Belanda, Ahad lalu.

Pasukan penyelidikan kaji dokumen berkaitan British dan Belanda di beberapa negara sejak 1980

PASUKAN Malaysia yang diketuai Penasihat Perdana Menteri mengenai Hal Ehwal Luar, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad membuat persediaan 27 tahun untuk mengemukakan kes negara ini pada perbicaraan berhubung kedaulatan Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bermula hari ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata Abdul Kadir yang bertindak sebagai Ejen Malaysia dalam kes berkenaan dibantu Ejen Bersama, Duta Malaysia ke Belanda, Datuk Noor Faridah Ariffin serta 40 anggota yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang.


"Pada pandangan saya, ia kes yang memerlukan kerja berpasukan untuk menyediakan satu persiapan yang cukup rapi bagi dibentangkan di ICJ pada 6 November ini," katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Syed Hamid berkata, pasukan penyelidik Malaysia yang membabitkan anak tempatan dan pakar undang-undang antarabangsa luar negara sudah memulakan penyelidikan sejak 1980 lagi sebaik saja Singapura membantah langkah Malaysia memasukkan Pulau Batu Putih sebagai sebahagian wilayah Malaysia.

"Penyelidikan dilakukan oleh anak tempatan, mereka pergi merata dunia, Amerika Syarikat, India, London dan Belanda untuk mencari dokumen yang boleh memberi gambaran dan suasana sebelum itu, mengenai British dan Belanda yang aktif di kawasan itu hingga masa kini.


"Mereka ini membabitkan Jabatan Arkib Negara, Jabatan Ukur dan Pemetaan dan pakar sejarah manakala Kementerian Luar bertindak sebagai penyelaras.

"Pasukan undang-undang anak tempatan diketuai Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, manakala pakar undang-undang luar membabitkan peguam terkemuka. Mereka ini sudah biasa dengan ICJ dan sebahagian besarnya daripada pasukan kes Pulau Ligitan dan Sipadan," katanya.

Syed Hamid berkata, pakar undang-undang itu membabitkan Sir Elihu Lauterpacht dan James Crawford, kedua-duanya profesor Undang-undang Antarabangsa di Universiti Cambridge; Nicolaas Jan Schrijver, profesor Undang-undang Antarabangsa Awam, Universiti Leiden; Marcelo G Kohen, profesor Undang-undang Antarabangsa, Graduate Institute of International Studies, Geneva; dan Penelope Nevill, pensyarah kolej, Downing College, Universiti Cambridge.

Katanya, kerajaan menggunakan khidmat pakar itu bukan saja disebabkan kebolehan dan kemahiran mereka tetapi negara mendapat kepakaran serta keupayaan mereka mengutarakan hujah undang-undang, kefahaman terhadap isu dan kes berkenaan.

Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh, akan mempengerusikan perbicaraan bersama 15 hakim lain, termasuk dua hakim ad hoc dilantik Malaysia dan Singapura. Malaysia melantik Christopher SR Dugard dari Afrika Selatan dan Singapura, Pemmaraju Sreenivasa Rao dari India, sebagai hakim ad hoc.

Mengikut perenggan 2, Perkara 17, Statut ICJ, Presiden ICJ, Hakim Rosalyn Higgins tidak boleh mendengar kes itu kerana beliau pernah mewakili Singapura sebelum pelantikannya ke jawatan tertinggi di mahkamah itu.

Semua 16 hakim, termasuk Awn Shawkat, akan mengundi untuk menentukan keputusan kes itu.

Persidangan mahkamah terbuka bermula dengan ucapan pembukaan oleh kedua-dua pihak sebelum hujah lisan oleh Singapura pada hari pertama.

Singapura diberikan empat hari (6 hingga 9 November) untuk mengemukakan hujah lisan pusingan pertama, manakala Malaysia diberikan giliran pada 13 hingga 16 November.

Dalam pusingan kedua, Singapura akan menjawab hujah Malaysia pada 19 dan 20 November diikuti Malaysia pada 22 dan 23 November. Keputusan kes dijangka disampaikan sebelum Jun tahun depan.

Pada 2003, dua negara berkenaan mengemukakan bersama kepada ICJ pertikaian berhubung kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge.

Mereka memberitahu ICJ mengenai kes itu melalui Perjanjian Khas ditandatangani oleh Malaysia dan Singapura pada 6 Februari tahun itu di Putrajaya dan dikuatkuasakan pada 9 Mei tahun yang yang sama.

FAKTA
Senarai Hakim

Tetap ICJ

Hakim Tetap ICJ

  • Awn Shawkat Al-Khasawneh (Jordan)
  • Raymond Ranjeva (Madagascar)
  • Shi Jiuyong (China)
  • Abdul G Koroma (Sierra Leone)
  • Gonzalo Parra Aranguren (Venezuela)
  • Thomas Buergenthal (Amerika Syarikat)
  • Hisashi Owada (Jepun)
  • Bruno Simma (Jerman)
  • Peter Tomka (Slovakia)
  • Ronny Abraham (Perancis)
  • Kenneth Keith (New Zealand)
  • Bernardo Sepulveda Amor (Mexico)
  • Mohamed Bennouna (Maghribi)
  • Leonid Skotnikov (Russia)

    Hakim ad-hoc
  • Christopher SR Dugard (Afrika Selatan)
  • Pemmaraju Sreenivasa Rao (India)
  • 0 comments: