Kuota 30 peratus masih rendah

Orang Melayu wajar kuasai pelbagai bidang berdasarkan kebolehan: Ali Rustam

IPOH: Orang Melayu tidak harus terikat dengan kuota 30 peratus dalam menetapkan pencapaian mereka dalam pelbagai bidang kerana mereka boleh mencapai lebih baik daripada itu jika berusaha bersungguh-sungguh mencapainya.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata sasaran 30 peratus seperti yang ditetapkan kerajaan ketika menggariskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) kerana ketika itu pencapaian orang Melayu masih rendah dalam pelbagai bidang.

Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, selepas 50 tahun mencapai kemerdekaan hasil perjuangan Umno, orang Melayu sudah menunjukkan kejayaan memberangsangkan.

"Oleh itu, orang Melayu wajar mencapai kejayaan dengan menguasai sekurang-kurangnya 50 peratus atau lebih dalam sesuatu bidang kerana mereka boleh mencapainya berdasarkan kepada kebolehan yang ada.

"Kita tidak merampas hak sesiapa atau daripada kaum lain tetapi kita hanya membesarkan kek ekonomi sedia ada atau membuat kek baru untuk meningkatkan ekonomi orang Melayu," katanya pada sidang media selepas menghadiri Jamuan Makan Malam dan Sambutan Aidilfitri Keluarga Umno Ipoh Barat di sini, malam kelmarin.

Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Ipoh Barat, Datuk Hamzah Zainuddin dan Timbalannya, Datuk Shamsuddin Abdul Ghaffar.

Ali Rustam berkata, kaum lain tidak perlu bimbang dengan matlamat pencapaian melebihi 30 peratus itu, kerana ia sama sekali tidak bertujuan merampas hak kaum lain.

Beliau berkata, tiba masanya orang Melayu yang mempunyai kedudukan dan kekuatan ekonomi hasil perjuangan Umno selama ini tampil membantu memperkukuhkan ekonomi masyarakat mereka.

Sementara itu, Ali Rustam berkata, kerajaan Melaka tidak bimbang walaupun negeri itu tidak termasuk dalam mana-mana koridor pembangunan wilayah yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, baru-baru ini.

"Yang penting, Kerajaan Persekutuan terus membantu dan membawa masuk lebih banyak projek infrastruktur serta pelaburan baru ke Melaka," katanya.

0 comments: