Malaysia tempat ke-166

Oleh Mohd Fadzrie Hazis

SEBALIK suntikan semangat baru diterima menerusi peningkatan tajaan 40 peratus untuk Liga Malaysia 2007-2008, bola sepak Malaysia terus merudum kegelapan dengan ranking dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) menyaksikan Malaysia kini di tangga ke-166 dunia.

Mengikut ranking terbaru Fifa untuk bulan Oktober, Malaysia yang sebelum ini menduduki tangga ke-156 keciciran tujuh tempat selepas kekalahan 4-1 kepada Bahrain pada perlawanan pertama pusingan kelayakan Piala Dunia 2010 pada 21 Oktober lalu di Manama.

Kedudukan ini juga paling buruk bagi negara dalam ranking di kalangan negara-negara Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) yang menyaksikan Malaysia di tangga ke-30 kini.


Sementara itu dikalangan negara Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) pula menyaksikan Malaysia di tempat keenam, di belakang Thailand (114 dunia), Indonesia (125), Vietnam (139), Singapura (140) dan Myanmar (147).

Ranking Fifa yang diperkenalkan pada 1993 hanya mengambil kira perlawanan antarabangsa gred A, membabitkan pasukan senior kebangsaan negara anggota dan tidak termasuk pencapaian skuad bawah 19 dan 23 tahun.

Ini bererti kejayaan di Pestabola Merdeka Ogos lalu, tidak diambil kira kerana semua pasukan kecuali Myanmar tidak menghantar skuad senior utama ke kejohanan itu.

0 comments: