Tempoh naik kadar tol dikaji

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya sedang mengkaji untuk menetapkan kadar tol lebuh raya untuk tempoh yang lebih panjang bagi mengelakkan kenaikan yang terlalu kerap sehingga membebankan pengguna.

Menterinya, Datuk Seri S Samy Vellu berkata, pihaknya berharap langkah itu akan dapat membantu meringankan beban pengguna daripada terpaksa berdepan kenaikan kadar tol setiap tiga hingga lima lima tahun seperti sekarang.

“Kementerian juga mencadangkan supaya sebelum sebarang konsesi dimeterai antara kerajaan dan pihak terbabit untuk projek lebuh raya, perbincangan akan dilakukan dengan semua agensi kerajaan yang terbabit termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

“Ia bertujuan bagi mendapatkan maklum balas sebelum konsesi diluluskan. Kajian ini juga sudah dibawa kepada Kabinet,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Mengenai Pembangunan Infrastruktur dan Pembiayaan, anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI), di sini, semalam.

Persidangan itu diadakan bagi membincangkan pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), khususnya yang berkaitan dengan kerjasama antara sektor swasta dan awam.

Samy Vellu berkata, sebarang keputusan mengenai perjanjian konsesi kini hanya dibuat oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM) tanpa mendapat maklum balas daripada agensi kerajaan terbabit.

“Pendapat umum juga akan diperoleh sebelum sesuatu projek lebuh raya bertol dilaksanakan,” katanya.

Menyentuh kertas Kabinet mengenai keperluan menaikkan tol bagi sembilan syarikat konsesi lebuh raya bertol mulai 1 Januari depan, beliau berkata kementerian akan membentangkannya pada 25 November ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut perkara itu.

0 comments: